‘Krisis kami dalam Bersatu macam Ali lawan Muawiyah’

Nama Sayidina Ali Abi Talib, Muawiyah dan Khawarij dipetik oleh Timbalan Menteri Belia dan Sukan semasa beliau mahu menjelaskan kedudukannya serta kemelut yang melanda Bersatu ketika ini.

Menurut Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, perbezaan pandangan dalam parti itu sama seperti apa yang berlaku kepada Ali dan Muawiyah Abu Sufyan yang juga pengasas kerajaan Bani Muawiyah.

Katanya, pihak yang menggelarkan kumpulan bertentangan sebagai pengkhianat pula sama seperti Khawarij kerana mengambil pendekatan melampau.

Untuk rekod, Ali ialah khalifah ar-Rashidin terakhir selepas Abu Bakar as-Siddiq, Umar al-Khattab dan Usman al-Affan.

Beliau terlibat dalam Perang Siffin lebih 1,000 tahun silam dan menyaksikan orang Islam terbahagi kepada dua kumpulan dengan kedua-dua pihak mendakwa mereka berada di pihak yang benar.

Khawarij pula ialah kumpulan yang asalnya menyokong Ali tetapi kemudian membawa haluan sendiri. Khawarij banyak dikenali sebagai kumpulan yang keras dan gemar mengkafirkan orang yang tidak sehaluan dengan mereka.

Kata Wan Ahmad Fayhsal, apabila berkempen di seluh negara nanti beliaiu akan menjelaskan apa yang berlaku dalam Bersatu.

Tak khianati Mahathir

Untuk rekod, Wan Ahmad Fayhsal akan mencabar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman untuk menduduki jawatan ketua Pemuda (Armada) Bersatu dalam pemilihan parti terbabit.

“Tunggu saya menjelajah ke seluruh negara untuk kempen pencalonan saya sebagai ketua Armada. Saya akan jelaskan keadaan.

“Saya tidak mengkhianati Syed Saddiq atau Tun (Dr Mahathir Mohamad).

“Perbezaan politik kami dalam Bersatu sama macam Saydina Ali vs Mu’awiyyah. Mereka yang memanggil orang lain sebagai pengkhianat adalah ekstremis macam Khawarij,” ciapnya di media sosial hari ini.

Bersatu kini terbahagi kepada dua kumpulan dengan masing-masing menyokong Mahathir – selaku pengerusi parti – dan Muhyiddin – selaku presiden.

Syed Saddiq memilih untuk bersama Mahathir walaupun ia membuat beliau diketepikan daripada kerajaan. Wan Ahmad Fayhsal sebelum ini adalah seorang daripada ahli jawatankuasa Armada dan dilantik menjadi pegawai khas Syed Saddiq semasa ahli parlimen Muar itu menjadi menteri belia dan sukan.

Pada hari-hari awal selepas Langkah Sheraton, Wan Ahmad Fayhsal dipercayai menyokong Syed Saddiq namun selepas mengadakan pertemuan dengan Muhyiddin, beliau beralih arah.

Dia kemudian dilantik sebagai senator dan menjadi timbalan menteri.

Seorang lagi yang bertanding untuk menduduki jawatan ketua Armada nasional ialah Muzzamil Ismail.

Mkini

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker