Kepimpinan Muhyiddin semasa krisis Covid-19 raih sokongan rakyat, kata penganalisis

Seorang penganalisis politik percaya cara Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengurus krisis Covid-19 akan membantunya meraih sokongan bukan sahaja akar umbi, malah dalam kalangan ahli Parlimen yang sebelum ini meragui kemampuan beliau.

Pensyarah di Universiti Teknologi Malaysia Azmi Hassan berkata, kata-kata dan tindakan Muhyiddin ternyata kena tempat pada masa krisis.

Ketika mengumumkan pakej rangsangan bernilai RM250 bilion pada Jumaat, Azmi berkata, Muhyiddin memperlihatkan bahawa kerajaan kini sedang berbuat sebaiknya bagi membantu semua golongan yang terkesan oleh wabak tersebut.

“Saya percaya ucapannya berjaya meredakan perasaan putus harapan dalam kalangan ramai orang. Saya fikir Muhyiddin kini merupakan individu yang mahu didengari oleh ramai kerana kebolehannya itu,” katanya kepada FMT.

Azmi berkata, jaminan Muhyiddin bahawa kerajaan pimpinannya prihatin tentang nasib semua, walaupun ia bukanlah kerajaan yang dipilih oleh rakyat, adalah sesuatu yang penting susulan persepsi umum mengenai keabsahan pentadbiran Perikatan Nasional.

“Ucapan itu menegaskan bahawa walaupun kerajaan yang ada kini bukanlah kerajaan yang dipilih oleh pengundi dalam pilihan raya umum lepas, namun ia mampu mengurus kerajaan pada masa krisis dan hakikat itu dibuktikan melalui pakej rangsangan,” katanya.

Petikan ucapan Muhyiddin itu banyak dikongsi di media sosial, dengan sebilangan pengguna merakamkan penghargaan mereka terhadap mesej beliau, selain menyuarakan kefahaman mengenai senario politik yang wujud.

Azmi berkata, walaupun ketika mengambil alih jawatan perdana menteri majoriti sokongan yang diterima Muhyiddin sangat sedikit, namun cara beliau mengendalikan krisis Covid-19 “akan mengubah keadan” itu.

Sivamurugan Pandian dari Universiti Sains Malaysia.
Penganalisis dari Universiti Sains Malaysia Sivamurugan Pandian berkata, ucapan Muhyiddin yang komprehensif itu menjelaskan mesejnya bahawa tidak ada mana-mana pihak yang akan diabaikan.

“Baginya, perdana menteri adalah milik semua orang tanpa mengira agama, kaum, gender atau pegangan politik,” katanya.

Beliau berkata, pihak-pihak yang sebelum ini mengkritik Muhyiddin turut memuji kepimpinannya.

“Kita tidak boleh menghalang mana-mana orang daripada mempolitikkan atau bermain politik, hatta semasa krisis sedang berlaku, tetapi Muhyiddin akan berjaya melepasinya kerana beliau menangani isu teras berkaitan keperluan harian dan permintaan semua rakyat.

“Langkah terbaik yang boleh dibuat oleh orang lain ialah bekerja bersamanya dalam satu pasukan sama ada mereka pembangkang, aktivis atau sesiapa juga,” katanya.

Pensyarah Universiti Malaysia Sabah Lee Kuok Tiung.
Lee Kuok Tiung dari Universiti Malaysia Sabah berkata, walaupun pakej rangsangan itu tidaklah sempurna, seperti yang disebut oleh sesetengah pengkritik, namun Muhyiddin sememangnya berusaha memasukkan sebanyak mungkin sektor masyarakat ke dalamya.

Katanya, cara Muhyiddin mengendalikan krisis berkenaan memberikan kepadanya peluang untuk keluar daripada bayang-bayang bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.

“Musuh politik beliau akan menyerangnya sebaik sahaja Dewan rakyat bersidang, tetapi saya percaya beliau telah memenangi sokongan ramai orang.

FMT

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker