‘Mana nak letak kargo kami lepas keluar pelabuhan?’

Share

Dari tarikh 27 hingga 29 Mac ini, berpuluh ribu barangan kargo tidak penting dibenarkan untuk dihantar keluar dari Pelabuhan Klang, Pelabuhan Pulau Pinang dan Pelabuhan Johor di Pasir Gudang.

Kebenaran itu diberikan setelah banyak kontena tersadai di pelabuhan ekoran penguatkuasaan perintah kawalan pergerakan (PKP) yang menyebabkan operasi pengendalian barangan di pelabuhan tergendala.

Bagaimanapun, pemain industri belum boleh menarik nafas lega.

Bagi syarikat pengangkutan dan pengimport barangan berkenaan, mereka mahu tahu di mana mereka boleh menyimpan barangan yang dihantar, sedangkan perkhidmatan tidak penting kini tidak dibenarkan beroperasi.

“Ada kesesakan di Pelabuhan Klang, lori beratur sehingga 4km untuk bawa keluar kargo,” kata Alvin Chua, presiden Persekutuan Penghantar Fret Malaysia (FMFF).

“Tapi ia (kebenaran) sedikit tidak jelas, Kementerian Pengangkutan kata logistik boleh bergerak (melakukan penghantaran), tetapi pengimport atau pengilang bertanya, bolehkah mereka buka kilang untuk menerima barangan?

“Saya beritahu mereka saya tiada jawapan untuk itu,” katanya.

Dakwanya, kes ini menunjukkan kurangnya koordinasi dalam kerajaan sedangkan keputusan untuk membenarkan pengilang menerima barangan mereka sepatutnya dibangkitkan oleh jemaah menteri yang selalu bermesyuarat.

Dia menggesa supaya Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) mengambil tindakan akan hal itu dan membenarkan pengilang beroperasi untuk menerima barangan mereka sehingga 29 Mac.

“Dianggarkan 70 peratus kargo di pelabuhan adalah barangan tidak penting, termasuk bahan binaan, bahan kimia dan bar keluli,” katanya.

Sedangkan, tambahnya, pihak polis akan mengambil tindakan ke atas pengilang perkhidmatan tidak penting yang melanggar PKP.

Pada 26 Mac, kerajaan membenarkan perkhidmatan logistik untuk menghantar barangan keluar dari Pelabuhan Klang, Pelabuhan Pulau Pinang dan Pelabuhan Johor di Pasir Gudang.

Menurut Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong, ketiga-tiga pelabuhan itu sudah menghampiri kapasiti 100 peratus ekoran pemberhentian operasi pemindahan barang dari gudang penyimpanan ke destinasi akhir.

Selain itu, Chua turut menambah bahawa barangan udara yang tersadai di lapangan terbang turut perlu dibenarkan untuk dihantar keluar.

Sebelum ini, Malaysiakini melaporkan banyak kontena tersadai di Pelabuhan Klang ekoran pelaksanaan PKP yang mengehadkan penghantaran barangan tidak penting.

FMFF memberi amaran situasi itu berpotensi menjadi bom jangka hanya boleh menjejaskan kecekapan dan kapasisti di pelabuhan.

FMFF turut menggesa kerajan untuk menjelaskan sama ada perkhidmatan logistik tergolong dalam perkhidmatan penting atau tidak.

Ini selepas wujudnya percanggahan arahan daripada kementerian-kementerian yang berbeza selepas pengumuman PKP dibuat.

Mkini

Leave a Reply