KKM jangka tsunami dalam gelombang ketiga Covid-19

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menjangkakan tsunami gelombang ketiga wabak Covid-19 di negara ini berikutan jumlah besar rakyat Malaysia bercuti ke luar negara semasa tempoh cuti sekolah awal bulan ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata, perintah kawalan pergerakan (PKP) yang dilaksanakan kerajaan kini merupakan sebahagian daripada persediaan menghadapi gelombang ketiga.

“Kami menjalankan PKP ini sebagai persiapan untuk ekspektasi kami, di mana tiga minggu lalu kami fikir akan ada gelombang ketiga, atau apa yang kami panggil tsunami,” katanya pada sidang akhbar di Putrajaya hari ini.

Menurutnya, pihak berkuasa kesihatan mendapati ramai rakyat Malaysia meninggalkan negara ini untuk bercuti sepanjang tempoh itu, termasuk ke Jepun dan Korea.



Ini katanya walaupun negara-negara berkenaan dikenal pasti sebagai berisiko tinggi untuk dilawati bersama Itali dan Iran.

Beliau mendedahkan ada kementerian memberi kelulusan kepada 8,000 kakitangannya untuk bercuti di luar negara.

“Saya dimaklumkan, ada satu kementerian, 8,000 warga kementerian itu diluluskan atau beli tiket untuk melancong, contoh di Jepun, Korea dan sebagainya.

“Kita dah tahu gelombang kedua melibatkan warga Malaysia dan kes mereka adalah kes import. Contoh lihat kes 23, pergi Jepun dengan keluarga dan balik positif.



“Jadi kita takut bila 32,000 dari pelancong warga Malaysia ke Korea, Jepun, Itali dan sebagainya, bila kembali maka kita mungkin akan dapat kes import yang mendadak,” kata Noor Hisham.

Beliau berkata kerajaan tidak akan mempunyai keupayaan untuk melakukan kuarantin terhadap sejumlah besar pesakit.

Justeru menurut beliau, PKP adalah pilihan terbaik untuk memutuskan rantaian jangkitan.

“Duduk di rumah, pastikan dua minggu, (jika) ada sejarah perjalanan (ke luar negara), duduk dalam rumah, jadi kita boleh kuarantin di rumah,” katanya.



Noor Hisham berkata langkah kedua selepas PKP adalah mengesan kes yang disyaki, membuat ujian dan mengasingkan mereka yang didapati positif dan merawat mereka di hospital.

Mkini

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker