Pakej rangsangan Putrajaya hadapi Covid-19 dijangka paling besar dalam sejarah

Putrajaya dijadual mendedahkan pakej rangsangan paling besar dalam sejarah negara yang mengatasi semua langkah penyelamatan ekonomi pernah dilaksanakan sebelum ini, kata sumber kepada FMT.

Langkah ini diambil sewaktu pihak berkuasa berasa lebih selesa susulan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) yang pada peringkat awalnya mencetuskan keresahan dan panik, tetapi kini menampakkan suasana lebih tenang di hampir semua bandar raya dan pekan di seluruh negara.

Gambaran itu bagaimanapun menyembunyikan suasana menakutkan yang menyaksikan puluhan bilion ringgit nilai kehidupan dan perniagaan akan terhapus begitu sahaja.

Jumlah keseluruhan pakej rangsangan ekonomi yang dijadual diumumkan oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin hari ini adalah “10 kali lebih besar” daripada jumlah yang diumumkan perdana menteri sebelum ini ketika memuncaknya krisis politik dalam parti kerajaan bulan lepas, kata sumber yang maklum mengenai perkembangan itu kepada FMT.

“Kerajaan membuka ‘semua pintu’ bagi memastikan janjinya untuk tidak membiarkan mana-mana pihak terbiar ditunaikan,” katanya.

Penunaian janji tersebut ternyata penting sewaktu kerajaan, yang berusia kurang 1 bulan, berdepan dengan krisis paling besar yang dihadapi negara sejak mencapai kemerdekaan.

Pakar ekonomi mengunjurkan gambaran ekonomi yang suram kesan penularan wabak Covid-19 dan penguatkuasaan perintah kawalan pergerakan (PKP) bermula 18 Mac lepas.

Kebanyakan mereka bersetuju bahawa PKP akan menyebabkan meningkatnya pengangguran dan musnahnya usahawan kecil dan sederhana.

Satu anggaran menyebut kira-kira 2.4 juta orang bakal kehilangan pekerjaan pada penghujung krisis ini yang kebanyakannya bukan pekerja bergaji, dengan pekerja tidak mahir mewakili 2/3 daripada jumlah itu.

Ketika mengumumkan pelanjutan tempoh PKP sehingga 14 April pada Rabu, Muhyiddin menjanjikan satu pakej rangsangan ekonomi menyeluruh yang akan memberi perhatian kepada semua sektor, termasuk pemandu e-panggilan, petani, penjaja dan pengusaha restoran.

“Tidak ada orang yang akan ditinggalkan,” katanya dalam ucapan yang disiarkan secara langsung.

“Dari nelayan di Terengganu, petani di Sarawak, pemandu teksi di Kuala Lumpur, usahawan kecil dan sederhana (SME) di semua negeri. Semua orang ada bahagian mereka,” kata sumber itu lagi yang memetik perbualan dengan mereka yang terlibat dalam merangka pakej berkenaan.

Menolak permintaan supaya mendedahkan angka tepat pakej tersebut, sumber berkata, “ia hampir sekali ganda” jumlah rangsangan yang digubal oleh Singapura, iaitu sebanyak S$54.4 bilion (RM163 bilion) bagi membantu syarikat perniagaan, pekerja dan isi rumah di republik itu.

Berdasarkan anggaran kasar jumlah itu mungkin mencecah sehingga RM250 bilion, iaitu kira-kira 1/5 daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Jika anggaran itu tepat, ia adalah 4 kali lebih besar daripada pakej rangsangan sebanyak RM60 bilion yang diumumkan oleh kerajaan susulan krisis kewangan global pada 2009.

Difahamkan bahawa separuh daripada jumlah yang bakal diumumkan itu adalah bagi menjamin kebajikan rakyat, sementara sebahagian besar bakinya disalurkan kepada sektor perniagaan.

Pada 27 Februari lepas, perdana menteri interim ketika itu, Dr Mahathir Mohamad mengumumkan satu pakej rangsangan bernilai RM20 bilion bagi mengurangkan kesan wabak Covid-19, yang akan dilaksanakan dalam tempoh 6 bulan.

Ia termasuklah diskaun 15% ke atas bil elektrik bagi syarikat penerbangan dan pasar raya, selain langkah untuk memastikan orang ramai mempunyai lebih banyak wang tunai di tangan dengan mengurangkan caruman pekerja kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja daripada 11% kepada 7% yang bakal melepaskan kira-kira RM10 bilion untuk penggunaan persendirian.

Beberapa hari sebelum Muhyiddin berkata bahawa beliau akan mengumumkan beberapa langkah kewangan baru, pakar, badan pemikir dan ahli politik memberi amaran tentang keperluan satu pakej rangsangan menyeluruh yang dapat mengatasi gangguan besar ke atas kewangan rakyat susulan krisis Covid-19.

Pusat Kajian Sosio-Ekonomi misalnya menggesa kerajaan memberi tumpuan kepada usha mempermudah aliran tunai dan kos operasi SME, sekali gus membantu majikan mengekalkan tenaga kerja mereka.

Pengarah eksekutif badan pemikir itu memberitahu FMT bahawa mereka mencadangkan supaya kerajaan menyediakan subsidi upah sehingga 70% kepada majikan selama 6 bulan bagi membantu aliran tunai syarikat.

“Kerajaan juga boleh menimbangkan kemungkinan mewujudkan satu dana gaji bagi membantu aliran tunai cek gaji.”

Rancangan sedemikian kini dilaksanakan oleh banyak kerajaan di seluruh dunia.

Kerajaan UK berkata, ia akan menampung 80% daripada gaji sehingga £2,500 sebulan. Lebih dekat, Singapura menawarkan gantian 25% bagi gaji semua pekerja tempatan seh

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker