Tinjauan: 40% syarikat pemula mungkin ‘lumpuh’ sekiranya pandemik berlarutan hingga Aidilfitri

Sebuah agensi kerajaan yang membantu pembangunan syarikat pemula dan perusahaan sosial berkata 40% perniagaan seperti itu mungkin “lumpuh” sekiranya pandemik Covid-19 berlarutan sehingga Aidilfitri, iaitu pada penghujung Mei.

Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia (MaGIC) berkata demikian berdasarkan kajian yang dijalankan baru-baru ini.

Sebanyak 239 usahawan pelbagai industri, termasuk pendidikan, perisian teknologi maklumat, dan makanan dan minuman, mengambil bahagian dalam kajian pendapat itu.

Menurut kajian itu, 15.9% responden percaya perniagaan mereka tidak akan bertahan lebih daripada sebulan sekiranya situasi semasa berlanjutan.

Sebanyak 24.7% lagi berkata perniagaan mereka tidak mampu bertahan lebih daripada 2 bulan.

Hampir separuh, atau 46.4%, daripada syarikat pemula dan perusahaan sosial berkata mereka mampu bertahan untuk tempoh 3 hingga 6 bulan akan datang.

Hanya 2.9% yakin mampu bertahan sekiranya situasi semasa berlanjutan selama lebih daripada setahun.

Ketua Pegawai Eksekutif, Dzuleira Abu Bakar berkata 77% mula terjejas teruk susulan perintah kawalan pergerakan (PKP), khususnya mereka yang terbabit dalam industri pendidikan dan pembelajaran, makanan dan minuman, perisian digital/teknologi maklumat, media, barang dagangan, dan pelancongan.

Carta pai tinjauan Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia.
PKP, yang pada awalnya dijadualkan tamat 13 Mac, semalam dilanjutkan sehingga 14 April.

“Apabila diajukan oleh pihak kami tentang bantuan yang perlu disegerakan, majoriti mengharapkan bantuan kewangan dan ini tidak mengejutkan,” katanya dalam kenyataan.

Menurut tinjauan itu, 35.1% memerlukan pinjaman sementara itu, 23.8% ingin mendapatkan geran atau subsidi, dan 3.8% minta penangguhan bayaran pinjaman.

Beliau berkata ketika kebanyakan responden merasakan perlunya sokongan seperti bantuan kewangan bagi mengharungi ketidaktentuan ekonomi, 20.1% menekankan keperluan lain seperti pemasaran, padanan perniagaan, dan capaian pasaran, termasuk program pembangunan kapasiti dan keupayaan.

Dzuleira berkata MaGIC bersedia membnantu usahawan meneroka pasaran baru, sama ada tempatan atau pun luar negara menerusi platform digital dan e-dagang.

“Kami juga bersedia untuk membekalkan usahawan dengan peluang jalinan rangkaian dan padanan perniagaan dengan usahawan syarikat pemula lain agar mereka dapat berkongsi sumber,” katanya.

Dzuleira berkata tinjauan juga mendapati walaupun ramai responden mengharapkan bantuan kewangan, 74/9% tidak sedar atau tidak pasti akan pelbagai tawaran sokongan atau pun insentif yang ditawarkan ketika ini.

Hanya 12% tahu dan layak bagi mendapatkan Kemudahan Bantuan Khas Covid-19 oleh Bank Negara dan MyCIF P2P oleh Suruhanjaya Sekuriti.

FMT

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker