Segerakan Pakej Rangsangan Ekonomi, Umum Bantuan Sebaik Dipastikan Dan Diluluskan – Najib

Share

Datuk Seri Najib Razak memahami ramai yang akan dukacita dan bertambah risau apabila tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah dilanjutkan dua minggu lagi ke 14 April.

Dalam satu hantaran di Facebook, Najib menyeru rakyat mempercayai bahawa krisis yang sedang dihadapi oleh negara pada masa ini adalah sangat luar biasa dan tidak pernah dihadapi oleh negara sejak Merdeka.

“Saya percaya juga bahawa kerajaan Perikatan Nasional (PN) tiada pilihan lain dan terpaksa melanjutkan tempoh PKP ini walaupun mereka sedar bahawa cabaran yang dihadapi oleh rakyat dan ekonomi kita tidak kurang besarnya.

“Memandang perlanjutan PKP ini, kerajaan PN perlu mempersegerakan pakej rangsangan ekonomi yang dijangka hanya diumum lima hari lagi pada 30 Mac dan meningkatkan usaha untuk memastikan kitaran wang dalam ekonomi serta bekalan makanan dan barangan asas tak putus.

“Jika boleh, jangan tunggu hingga 30 Mac untuk diumumkan sekaligus. Umumkan bantuan sebaik sahaja ianya telah dipastikan dan diluluskan. Pada 30 Mac, kerajaan PN masih boleh kumpul dan ulang semula apa yang pernah diumumkan pada hari-hari sebelumnya dalam ucapan pakej rangsangan ekonomi hari itu,” jelasnya.

Najib dalam statusnya itu sekali lagi memaparkan empat perkara yang patut dijadikan keutamaan kerajaan, seperti di pautan Facebooknya: https://www.facebook.com/najibrazak/posts/10156851484710952

Ulas bekas Menteri Kewangan itu lagi, satu lagi langkah kerajaan yang patut diambil untuk memastikan kitaran wang dalam Malaysia tidak henti dan juga untuk mengurangkan tekanan ke atas perniagaan-perniagaan dan pekerja mereka ialah kerajaan patut mempercepatkan bayaran kerajaan kepada pembekal-pembekal dan kontraktor kerajaan yang memerlukan bayaran untuk membayar pekerja-pekerja.

“Golongan ini bukan kecil. Ramai rakyat yang akan terkesan jika bayaran lambat diterima.

“Jangan sekali dibiarkan bayaran ini menjadi lewat walaupun saya tahu ramai staf kerajaan yang mungkin terkesan oleh larangan pergerakan dan ini mungkin menjadi satu rintangan untuk memproseskan bayaran.

“Cari jalan untuk mempercepatkan proses bayaran kerajaan. Wang ini memang patut dibayar pun. Cuma tengok masa untuk dibayar,” tambahnya.

Justeru kata Ahli Parlimen Pekan itu lagi, kerajaan tidak perlu bimbang jika ada kemungkinan berlakunya salah bayar kerana kerajaan masih boleh mengambil tindakan selepas krisis COVID-19 berakhir disebabkan pihak yang disalah bayar tidak lari ke mana.

“Langkah mempercepatkan bayaran ini tidak perlu lulusan atau pindaan kepada bajet negara kerana ini bukan bajet tambahan atau peruntukan baru.

“Cuma perlu kerajaan lebih peka kepada impak dari perkara ini,” gesanya lagi. – UMNO ONLINE

Leave a Reply