LHDN sedia insentif potongan cukai untuk Tabung Covid-19

Share


Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) hari ini mengumumkan insentif potongan cukai kepada penderma yang mendermakan wang tunai atau barangan digunakan untuk menangani penularan wabak Covid-19 serta membantu rakyat terkesan dengan wabak berkenaan.

LHDN berkata, insentif disediakan bawah Akta Cukai Pendapatan adalah untuk Tabung Covid-19 diusahakan Kementerian Kesihatan, Tabung Covid-19 oleh Pengurusan Bencana Negara, dan derma kepada institusi diluluskan bawah Subseksyen 44(6) Akta Cukai Pendapatan.

“Para penyumbang perlu mendapatkan surat akuterima sumbangan daripada penerima sumbangan berserta cop rasmi mengikut format yang akan dikeluarkan Kementerian Kewangan sebelum mengemukakan permohonan potongan cukai itu kepada kementerian terbabit.

“Permohonan yang lengkap hendaklah dialamatkan kepada Bahagian Cukai, Kementerian Kewangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut lembaga itu, pembayar cukai yang menderma dinasihatkan menyimpan rekod transaksi sebagai bukti dan perlu memastikan resit atau dokumen disimpan rapi supaya ia boleh dijadikan rujukan ketika pengisian Borang Nyata Cukai Pendapatan (BNCP) Tahun Taksiran 2020 dan semakan LHDN.

“Orang ramai dinasihatkan membuat semakan kesahihan organisasi sebelum membuat sebarang sumbangan bagi mengelakkan penipuan,” katanya.

FMT



Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *