PM: Keadaan mungkin lebih sukar, saringan dipertingkat

Bilangan kes jangkitan Covid-19 di negara ini meningkat kepada 1,796 kes setakat tengah hari ini.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dalam ucapan secara langsung di televisyen berkata, sebanyak 172 kes baru direkodkan hari ini dan memberi amaran angka itu mungkin menjadi lebih buruk.

Beliau juga berkata dua kematian lagi telah dilaporkan, menjadikan angka kematian kini meningkat kepada 17.

“Saya nak menyebut di awal-awal ini bahawa keadaan berkemungkinan menjadi lebih sukar.

“Covid-19 adalah penyakit yang tidak pernah kita dihadapi sebelum ini.

“Tidak pernah kita jangkakan bahawa kehidupan kita akan berubah dalam sekelip mata hanya kerana sejenis wabak yang menular bukan sahaja di tempat kita tetapi juga di seluruh dunia.

“Kadar jangkitannya begitu. Hari ini seramai, 422,829 orang telah dijangkiti wabak ini di seluruh dunia dengan 18,907 kematian,” katanya.

Muhyiddin berkata, beliau telah diberikan taklimat oleh pihak Majlis Keselamatan Negara bahawa peningkatan kes positif Covid- 19 dijangka meningkat lebih tinggi.

“Jumlahnya mungkin meningkat berkali-kali ganda lagi seperti yang berlaku di beberapa buah negara lain.

“Dari satu segi perintah kawalan pergerakan yang kita ambil telah sedikit sebanyak berjaya mengawal penularan wabak ini,” katanya.

Sehubungan itu katanya, strategi kerajaan kini ialah untuk mencari, menyaring, mengasing dan merawat pesakit Covid-19.

“Kementerian Kesihatan akan meningkatkan kapasiti untuk melakukan ujian saringan pada skala yang lebih besar.

” Ini termasuk melakukan mass testing khususnya di kawasan-kawasan yang berisiko tinggi.

“Dengan kata lain, kita ingin mencegah jangkitan. Strategi ini akan berjaya sekiranya orang ramai tidak terdedah kepada jangkitan virus ini menerusi pergaulan harian,” jelasnya.

Mkini

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker