Permohonan pengeluaran Akaun 2 KWSP melalui 3 saluran



Sebaran :

Pemohonan pengeluaran i-Lestari Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) boleh dibuat melalui 3 saluran dan maklumat pemohon perlu diisi dengan lengkap.

Dalam satu kenyataan menjawab soalan lazim (FAQ), KWSP memaklumkan, 3 saluran itu boleh dibuat secara dalam talian.

“Selain itu, permohonan juga boleh dibuat secara e-mel kepada [email protected]



“Atau dibuat secara pos/pos berdaftar ke alamat Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, Karung Berkunci No 220, Jalan Sultan 46720 Petaling Jaya (Pengeluaran iLestari),” menurut kenyataan itu.

Kira-kira 12 juta rakyat Malaysia dibenar mengeluarkan RM500 setiap bulan daripada Akaun 2 KWSP selama setahun, sebagai sebahagian langkah membantu orang ramai menangani impak kewangan susulan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan bagi membendung wabak Covid-19.

Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan menjangkakan pengeluaran caruman mulai bulan depan itu berjumlah kira-kira RM40 bilion secara keseluruhan.



Sementara itu KWSP berkata, ahli perlu membuat permohonan sekali sahaja dan pembayaran Pengeluaran i-Lestari akan dikreditkan secara berulang ke dalam akaun bank ahli.

KWSP berkata, bayaran bermula dari bulan permohonan diterima oleh KWSP sehingga Mac 2021.

“Pengeluaran boleh dibuat bagi tempoh 1 tahun (12 bulan), iaitu dari bulan April 2020 hingga bulan Mac 2021.



“Ahli boleh mula mengemukakan permohonan Pengeluaran i-Lestari mulai 1 April 2020,” katanya.

KWSP berkata, amaun yang layak dikeluarkan oleh ahli di bawah Pengeluaran i-Lestari adalah apa-apa baki simpanan dalam Akaun 2 yang tidak melebihi jumlah maksimum RM500 sebulan untuk tempoh selama 12 bulan.

Ahli yang layak membuat Pengeluaran i-Lestari adalah warganegara Malaysia dan pemastautin tetap.



“Berumur di bawah 55 tahun, mempunyai baki simpanan di dalam Akaun 2 tertakluk kepada baki Akaun 2 semasa proses pembayaran pada bulan berkenaan dibuat,” katanya.

KWSP berkata, Pengeluaran i-Lestari bertujuan untuk membantu meringankan beban kewangan ahli untuk memenuhi keperluan asas bulanan dalam tempoh pandemik Covid-19.

“Jumlah maksimum RM500 sebulan ini adalah jumlah yang munasabah bagi menambah sumber kewangan ahli untuk memenuhi keperluan asas untuk bulan yang berkenaan.



“Kekerapan bayaran pengeluaran i-Lestari sekali sebulan adalah kerana pengeluaran ini bertujuan untuk menambah sumber pendapatan bulanan ahli bagi memenuhi keperluan asas setiap bulan,” katanya.

FMT


Sebaran :


Leave a Reply