Ujian Covid-19: Bagaimana dilakukan? Siapa patut diuji?

Share
Pembantu Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Bruce Aylward

Dalam usaha membendung penularan Covid-19, antara langkah paling penting adalah mengenal pasti pesakit yang dijangkiti dengan secepat mungkin, agar mereka boleh diasingkan daripada orang sihat dan diberikan rawatan.

Dalam satu temu bual dengan Vox, Pembantu Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Bruce Aylward berkata, apa yang berlaku di China menunjukkan bahawa mengenal pasti dan mengasingkan kes jangkitan dengan kadar segera merupakan langkah terpenting dalam membendung wabak itu.

Hakikat ini tidak berubah dalam situasi yang melibatkan banyak kluster jangkitan.

Bagaimanapun, wabak itu mungkin sukar dibezakan daripada penyakit-penyakit pernafasan yang lain kerana gejalanya sama.

Justeru, kaedah utama bagi menentukan sama ada seseorang itu dijangkiti adalah dengan mengenal pasti virus melalui gennya, menerusi satu prosedur yang dikenali sebagai “tindak balas rantai polimerase-transkripsi balik” (RT-PCR).

Dalam PanduanKini kali ini, kami akan menghuraikan bagaimana ujian ini dilakukan, siapa yang layak diuji, dan apa yang boleh dijangka daripada ujian ini.

Bolehkah saya minta untuk diuji?

Berdasarkan garis panduan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), hanya mereka yang memenuhi kriteria di bawah akan diuji untuk Covid-19:

Orang yang menunjukkan gejala demam atau jangkitan pernafasan akut dan telah membuat perjalanan ke negara terkesan dalam masa 14 hari. Orang yang transit di lapangan terbang negara terkesan tidak dikira sebagai “telah membuat perjalanan” ke sana.

Orang yang mempunyai “kontak rapat” dengan kes disahkan Covid-19, dalam masa 14 hari orang yang disahkan itu menunjukkan gejala. Kontrak rapat itu perlu diuji sama ada dia ada menunjukkan gejala atau pun tidak.

Selain itu, kerajaan mempunyai program pemantauan penyakit sedia ada yang memilih secara rawak pesakit-pesaki dengan gejala demam selsema (flu) dan jangkitan pernafasan akut untuk dijalankan ujian, bagi mengawasi pola penyakit-penyakit berkenaan.

Program itu diperluaskan pada Februari dengan turut memasukkan ujian Covid-19.

Ini bagi memantau tanda-tanda kes sporadik (rambang) dan sebaran komuniti (apabila punca atau hubungan jangkitan tak dapat dikenal pasti) penyakit itu.

Apa itu kontak rapat?

KKM menyenaraikan empat kategori kontak rapat:

Pendedahan daripada penjagaan kesihatan, seperti petugas kesihatan yang mengendalikan kes Covid-19 tanpa kelengkapan perlindungan peribadi (PPE) sewajarnya, pelawat, dan pesakit di dalam wad sama dengan pesakit Covid-19.

Orang yang bekerja bersama pesakit Covid-19 dalam persekitaran yang rapat, atau berkongsi bilik kelas dengannya.

Orang yang membuat perjalanan bersama pesakit Covid-19 dalam apa jenis pengangkutan pun.

Orang yang tinggal dalam rumah yang sama dengan pesakit Covid-19.

Kontak rapat di atas tertakluk kepada pesakit yang disahkan Covid-19, bukan kepada kes-kes disyaki.

Pegawai KKM akan menemu bual pesakit bagi menentukan siapa yang memenuhi kriteria ini bagi mengesan mereka untuk menjalani ujian.

Berdasarkan kenyataan Timbalan Ketua Pengarah KKM (kesihatan awam) Dr Chong Chee Kong semasa sesi libat urus dengan media pada 9 Mac, KKM tidak mengambil kira jangkitan menerusi “kontak kasual” dengan pesakit Covid-19.

Katanya, semua pesakit Covid-19 (pada ketika itu) merupakan kontak rapat dengan pesakit Covid-19 atau mempunyai sejarah perjalanan ke negara terkesan.

Saya layak membuat ujian saringan. Patutkah saya terus ke klinik/hospital?

Tunggu dulu! Memang ini hal mustahak, tapi perkara pertama yang harus anda lakukan adalah menghubungi khidmat pelanggan KKM secepat yang mungkin.

Mereka akan menasihati sama ada anda perlu menjalani ujian dan memberikan anda arahan yang spesifik untuk kes anda. Ujian adalah percuma sekiranya anda memenuhi kriteria ujian.

Anda mungkin juga diarahkan untuk ke mana-mana fasiliti kesihatan tertentu yang mempunyai kelengkapan untuk membuat ujian saringan Covid-19.

Di fasiliti berkenaan, anda mungkin diarahkan ke tempat khas untuk menjalankan ujian, bagi memastikan anda diasingkan daripada petugas dan pesakit lain yang mungkin tidak mempunyai PPE untuk mengendalikan kes anda. Mungkin anda diarahkan masuk melalui pintu lain, atau ke kanopi yang didirikan di luar bangunan.

Membuat panggilan terlebih dahulu akan turut dapat membantu petugas kesihatan membuat persiapan sebelum ketibaan anda dan memastikan semua langkah berjaga-jaga diambil.

Anda boleh menghubungi Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) KKM melalui nombor telefon 03-8881 0200, 03-8881 0600, atau 03-8881 0700; atau nombor-nombor ini untuk negeri anda.

Anda juga boleh e-mel CPRC di alamat [email protected] atau menerusi portal penasihat kesihatan maya.

Portal itu adalah perkhidmatan dalam talian dan merupakan usahama antara KKM dan DoctorOnCall. Anda turut boleh membuat ujian dalam talian bagi membantu anda menilai kebarangkalian anda mendapat jangkitan Covid-19.

Anda turut boleh menghubungi nombor khidmat pelanggan di atas untuk bertanyakan soalan-soalan lain berkenaan Covid-19. Ia beroperasi dari jam 8 pagi hingga 5 petang.

Apa terjadi selepas saya menjalani ujian?

Jika anda menunjukkan gejala atau tidak sihat, anda akan dimasukkan ke wad sementera menunggu keputusan ujian. Anda juga mungkin dimasukkan ke wad jika persekitaran rumah anda didapati tidak sesuai untuk kuarantin.

Jika anda tidak menunjukkan gejala dan rumah anda sesuai untuk kuarantin, anda akan menerima arahan tentang bagaimana menjalani kuarantin sendiri selama 14 hari dari tarikh terakhir anda terdedah dengan pesakit Covid-19.

Seorang pegawai kesihatan akan memeriksa keadaan anda secara harian dan memantau gejala-gejala anda.

Anda mesti mematuhi arahan ini. Kegagalan berbuat demikian menjadikan anda sebagi risiko kepada kesihatan awam dan anda mungkin berdepan tindakan undang-undang.

Berdasarkan garis panduan KKM, contoh kes yang sesuai untuk menjalani kuarantin di rumah adalah pesakit mempunyai bilik tidur berasingan (lebih baik jika dilengkapi bilik air sendiri), mempunyai akses kepada keperluan harian dan kenderaan sendiri, dan boleh menjauhkan diri daripada ahli keluarga berisiko seperti orang tua.

Saya tak layak untuk ujian ini, tapi saya tetap mahu diuji. Apa boleh saya buat?

Fasiliti kesihatan awam mungkin menolak untuk menjalankan ujian terhadap anda, bagi memberikan tumpuan terhadap mereka yang benar-benar memerlukan.

Anda boleh menjalani ujian daripada penyedia perkhidmatan kesihatan swasta, dan akan dikenakan bayaran.

Ketua Pengarah KKM Dr Noor Hisham Abdullah berkata 11 syarikat telah diberikan latihan dan pemeriksaan kualiti oleh KKM bagi menjalani pensampelan dan ujian.

Anda boleh membuat atur janji agar pasukan kesihatan ke rumah anda untuk menjalankan pensampelan.

Apa yang diperlukan untuk ujian? Darah?

Tidak. Ujian selalunya melibatkan sampel swab (kapas kesat) diambil dari hidung dan mulut.

Swab poliester kecil mempunyai batang panjang. Petugas kesihatan akan memasukkannya jauh ke dalam mulut anda dan/atau hidung, dan mengikis bahagian kerongkong (back of your throat) atau hidung (pada bahagian yang dikenali sebagai nasofarinks).

Kedalamannya adalah beberapa inci, kira-kira jarak yang sama dari mulut atau hidup, ke telinga. Bagi mereka yang pernah menjalani prosedur ini rata-ratanya menyifatkannya sebagai sangat-sangat tidak menyenangkan, tetapi tidak menyakitkan.

Swab itu akan dihantar untuk dijalankan ujian.

Untuk pesakit yang menunjukkan gejala, kaedah lain mungkin digunakan, lebih-lebih lagi jika pesakit itu dalam keadaan sakit, seperti ujian kahak (phlegm) atau daripada sampel cucian paru-paru.

Dalam kes cucian paru-paru, yang dikenali sebagai kurasan bronkoalveolar- satu tiub dimasukkan ke paru-paru menerusi hidung dan mulut. Sejenis cecair dipancutkan ke sebahagian kecil paru-paru, dan kemudiannya diambil untuk dibuat ujian.

Apa terjadi kepada sampel-sampel itu?

Langkah pertama ada mengkestrak bahan genetik virus (RNA) daripada sampel yang didapatkan.

Sejenis enzim yang dikenali sebagai transkriptase berbalik digunakan untuk menukarkan maklumat genetik virus itu kepada DNA. Ini kemudiannya dapat disalin berulang-ulang kali supaya bahan itu dapat dikesan hatta dalam jumlah kecil sekalipun.

Proses amplikasi DNA dikenali sebagai PCR (tindak balas rantai polimerase), dan apabila digabungkan dengan RT (transkripsi balik), maka terhasillah kaedah RT-PCR.

Campuran tindak balas ini turut mengandungi “kuar” (probes) molekul yang direka bentuk khas supaya dapat menempel pada urutan genetik sasaran yang unik kepada virus penyebab Covid-19 itu.

Kuar ini mengandungi pewarna pendarfluor dalam bentuk yang tidak aktif. Setelah menempel pada urutan sasaran, ia akan bebas (cut loose) dalam pusingan amplikasi DNA seterusnya, lalu diaktifkan.

Satu pengesan mencatat keputusan itu, dan jumlah cahaya pendaflour yang dikesan akan digunakan untuk mengira jumlah RNA virus yang ada pada asalnya.

Seberapa bagus ujian ini?

Ujian ini dibangunkan oleh Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) Kuala Lumpur pada 11 Januari, berdasarkan data genetik yang dikeluarkan oleh saintis di China pada hari sama.

Dalam satu kenyataan, Noor Hisham berkata ujian itu boleh memakan masa sehingga 24 jam, tetapi biasanya, keputusan diperoleh lebih awal.

Secara umum, tidaklah diketahui tahap kebolehpercayaan ujian yang dibangunkna IMR ini, tetapi ujian RT-PCR dianggap hampir mustahil mengeluarkan keputusan positif yang silap.

Tambahan pula, berdasarkan satu laporan bersama oleh WHO dan China bulan lalu, data awal menunjukkan bahawa ujian RT-PCR boleh mengesan virus berkenaan seawal satu atau dua hari sebelum gejala ditunjukkan.

Bagaimanapun, satu keputusan negatif sebaliknya tidak boleh dianggap sebagai keputusan yang konklusif.

Bagi mengurangkan “kes negatif yang silap” ini, garis panduan KKM memerlukan seseorang yang telah disahkan negatif untuk melakukan ujian semula.

Apa terjadi jika saya disahkan positif?

Anda akan dimasukkan ke wad – jika anda belum diwadkan.

Terdapat 26 hospital awam dan satu hospital universiti yang mempunyai kelengkapan dan terlatih untuk mengendalikan kes Covid-19.

Pegawai kesihatan akan mula membuat pengesanan terhadap kontak rapat anda, dan adalah sangat penting untuk anda memberikan kerjasama penuh terhadap proses ini bagi membendung penularan penyakit itu.

Apa terjadi jika saya disahkan negatif?

Jika ada diwadkan, anda perlu disahkan negatif sebanyak dua kali berturut-turut sebelum dibenarkan keluar dari hospital.

Jika anda menjalani kuarantin di rumah, anda perlu meneruskan kuarantin sehingga habis tempoh 14 hari.

Anda akan diuji buat kali kedua pada hari ke-13 dan akan dibebaskan pada hari ke-14 jika keputusannya negatif.

Berapa banyak ujian yang dijalankan?

KKM menyediakan kemas kini harian terhadap jumlah kes yang diuji di laman webnya.

Setakat 22 Mac jam 5 petang, sebanyak 15,196 kes telah dibuat ujian. Daripada jumlah ini, 1,306 kes (8.6 peratus) disahkan positif; 9,969 kes (65.6 peratus) disahkan negatif; dan 3,921 (23.8 peratus) masih menunggu keputusan.

Jika ujian yang masih menunggu keputusan tidak diambil kira, perkadaran kes positif berbanding kes negatif ialah masing-masing pada 12.3 peratus dan 87.7 peratus.

Seperti dinyatakan di atas, setiap kes perlu diuji lebih dari sekali.

Noor Hisham memaklumkan dalam sidang media pada 22 Mac bahawa Malaysia mensasarkan untuk membuat ujian terhadap 16,000 kes dalam sehari, di 18 makmal seluruh negara.

Setakat ini, negara mampu menjalankan sehingga 4,500 ujian sehari. Kerajaan bercadang meningkatkan jumlah ini sehingga 7,000 pada minggu depan, dan 16,000 pada April.

Adakah cuma ujian RT-PCR yang dijalankan?

Tidak. Untuk pesakit yang menunjukkan gejala, garis panduan KKM memerlukan sampel serum darah diambil dan dihantar ke IMR untuk dibuat ujian.

Sampel serum itu perlu diambil selepas lima ke lapan hari seseorang dimasukkan ke hospital, atau semasa dia dibebaskan.

Tujuan ujian ini tidak diperincikan di dalam garis panduan, tetapi ujian seumpama itu digunakan untuk mengesan kehadiran antibodi yang dihasilkan oleh tubuh pesakit dalam melawan jangkitan Covid-19.

Ini boleh digunakan untuk memantau keadaan pesakit atau untuk mengesahkan keputusan ujian RT-PCR terdahulu bahawa jangkitan memang benar-benar telah berlaku.

Saya ada tengok kit ujian kecil yang dijual di pasaran. Bolehkan saya menggunakannya dan buat ujian sendiri di rumah?

Pertamanya, anda harus mendapatkan nasihat daripada golongan perubatan profesional tentang sama ada ujian itu sesuai untuk kes anda, dan juga tentang keputusan yang didapatkan.

Dapatan keputusan daripada ujian seumpama itu juga mungkin perlu disahkan dengan dapatan lain bagi memastikan keabsahannya.

Ini kerana cara ujian itu berfungsi adalah dengan mengesan antibodi yang dihasilkan oleh badan sebagai tindak balas terhadap jangkitan Covid-19, bagi melawan penyakit itu.

Sedangkan, ia mungkin memakan masa berminggu-minggu untuk badan menghasilkan antibodi yang cukup untuk dikesan. Apabila sampai ke tahap itu, tubuh anda mungkin sudah bebas daripada virus itu, manakala orang-orang lain mungkin sudah pun dijangkiti sepanjang masa itu.

Dalam kata lain, ujian berasaskan antibodi boleh digunakan untuk mengesan sejarah jangkitan terdahulu. Bagaimanapun, ia mungkin terlepas kes yang sedang mengalami jangkitan atau kes berjangkit.

Sebaliknya, ujian RT-PCR boleh mengesan kehadiran virus itu sendiri. Oleh itu, ia berguna untuk mendiagnosis individu yang sedang dijangkiti dan mengasingkan mereka dalam kadar segera.

Sementara itu, Noor Hisham memberitahu pemberita pada 22 Mac bahawa kesesuaian ujian-ujian berkenaan (berasaskan antibodi) bergantung kepada apa yang mahu diketahui daripada ujian itu.

“Macam yang sudah saya beritahu, ia bergantung pada sebab anda mengukur (antibodi). Jika anda mahu mengukur antibodi, bolehlah- contohnya- bagi menentukan sama ada sekelompok manusia ini mempunyai keimunan gerompok (herd immunity), sebab semua orang ada imuniti itu.

“Jadi, anda boleh ukur itu. Ia bergantung pada ujian itu, dan apa yang ada mahu lakukan,” katanya.

PanduanKini ini disediakan oleh KOH JUN LIN dan diterjemahkan oleh M FAKHRULL HALIM.

Dapatkan perkembangan terkini wabak Covid-19 di Malaysia dari Malaysiakini, menerusi Covid-19 tracker.

Mkini

145 pekerja binaan larikan diri selepas ujian Covid-19

Leave a Reply