10j topeng dari China untuk petugas barisan depan

Sebanyak 10 juta bekalan penutup hidung dan mulut dari China akan dibawa secara berperingkat-peringkat untuk diagihkan kepada petugas barisan hadapan, kata menteri kanan Fadillah Yusof.

Fadillah yang juga Menteri Kerja Raya berkata, sekiranya terdapat lebihan, barulah penutup hidung dan mulut itu akan diagihkan untuk pasaran melalui syarikat Pharmaniaga.

“Sepuluh juta ini apabila sampai, akan diuruskan oleh Nadma (Agensi Pengurusan Bencana Negara), Nadma akan uruskan pengagihan.

“Pengagihan keutamaan ialah untuk diagihkan kepada frontliners – pihak yang uruskan hal Covid-19, (iaitu) Kementerian Kesihatan di peringkat kebangsaan dan juga peringkat negeri, polis, imigresen, tentera yang akan terlibat sama nanti.

“Kalau ada lebihan atau terlebih daripada jumlah 10 juta itu, barulah akan diberikan kepada pasaran. Itu pun akan diuruskan oleh Nadma dan Nadma akan bekerjasama dengan Pharmaniaga untuk diagihkan di pasaran,” katanya dalam sidang media di Perdana Putra hari ini.

Mengulas lanjut mengenai jumlah lebihan topeng muka yang akan dihantar ke pasaran, Fadillah menjelaskan, dari segi harga ia akan dibincangkan oleh kementerian berkaitan.

Sebelum ini, beberapa agensi dari China turut menyumbangkan penutup hidung dan mulut kepada Malaysia bagi membantu membendung penularan wabak Covid-19.

Antaranya Bank China Construction (Malaysia) dan Ali Baba serta Jack Ma Foundation.

Semalam media melaporkan kerajaan setuju untuk menaikkan harga siling penutup hidung dan mulut serta melarang eksport barangan itu serta-merta bagi menjamin keperluan dalam negara dipenuhi.

Setakat semalam, Malaysia mencatatkan 1,030 kes Covid-19, menjadikan negara ini keempat tertinggi di Asia.

Mkini

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker