KKM cari seluruh penumpang bas JB-Kuantan untuk saringan Covid-19

Kementerian Kesihatan sedang mengesan keseluruhan penumpang sebuah bas ekspres dari Johor Bahru ke Kuantan, selepas seorang penumpang disahkan positif Covid-19.

“Kita akan memanggil mereka untuk membuat saringan,” kata Menteri Dr Adham Baba pada sidang media perkembangan terkini Covid-19 hari ini.

Terdahulu, Pejabat Kesihatan Kuantan memaklumkan seorang individu positif Covid-19 menaiki bas ekspres dari Larkin Sentral, Johor Bahru ke Terminal Sentral Kuantan pada 7.45 malam 16 Mac, sebelum perintah kawalan pergerakan dikuatkuasakan.

Difahamkan, penumpang berkenaan menjalani ujian saringan Covid-19 di Johor Bahru tetapi tidak mengkuarantinkan dirinya. Hasil ujian kemudian didapati positif, tetapi individu terbabit sudah menaiki bas.

Media melaporkan orang ramai berpusu-pusu ke terminal bas untuk pulang ke kampung halaman sebelum perintah berkuatkuasa keesokan hari.

Pihak berkuasa merayu orang ramai jangan keluar rumah ketika kes jangkitan Covid-19 terus meningkat.

Adham berkata kementeriannya akan menasihatkan Majlis Keselamatan Negara supaya pengangkutan awam seperti bas mengamalkan penjarakkan sosial.

“(Bas) tak boleh penuh dan mereka diminta menggunakan topeng dan alat keselamatan,” katanya.

FMT

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker