Timbul Kegusaran? Tidak Perlu Malu Dalam Melakukan Pembetulan – Mahdzir

Share

Kerajaan diharap agar segera memperbetulkan mengenai beberapa langkah yang telah diambil sebelum ini berhubung perintah kawalan pergerakan yang menimbulkan kegusaran terhadap orang ramai.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata apabila Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin membuat pengumuman mengenai perkara itu dua malam lepas, banyak pihak yang tidak faham sepenuhnya akan arahan tersebut termasuklah agensi pelaksana yang terkial-kial mencari penyelesaian terbaik.

“Keadaan ini menyebabkan rakyat tidak berpuas hati dan resah. Antara isu yang mencetuskan kegusaran dalam kalangan orang ramai adalah pergerakan antara negeri dan keluar masuk ke negara jiran.

“Pihak berkuasa perlu memperhalusi dan membuat perincian mengenai kaedah pelaksanaan perjalanan yang telah dihadkan, berdasarkan akta sedia ada,” katanya menerusi catatan di Facebook.

Tambah Mahdzir lagi, arahan agar pelajar mengosongkan asrama apabila universiti ditutup juga menimbulkan kegusaran dan pentadbir universiti sepatutnya lebih prihatin akan keadaan pelajar yang kampung halamannya jauh.

“Pekeliling baru perlu dikeluarkan tanpa rasa malu supaya pelajar tidak perlu berpusu-pusu untuk mengosongkan asrama,” ujarnya.

Jelasnya lagi restoran, kedai makan dan warung juga perlu ada garis panduan yang jelas dan pihak kerajaan perlu memberi satu panduan yang jelas mengenai pengoperasian sektor makanan dan minuman (F&B) semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan.

“Jangan berasa malu untuk menyediakan penerangan berterusan kepada rakyat. Sekiranya terdapat pembetulan terhadap kenyataan yang telah dikeluarkan, Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang baru sahaja mengambil alih krisis menangani COVID-19 mesti pantas dan bertindak segera memperbetulkan keadaan.

“Pasukan media MKN perlu agresif dalam menyampaikan maklumat terkini kepada rakyat. Tidak perlu malu untuk melakukan pembetulan,” ujarnya.

Terkini, dalam perkembangan berkaitan, di status media sosialnya itu, Mahdzir berkata UMNO Bahagian Padang Terap telah membuka sebuah Bilik Gerakan COVID-19 peringkat Parlimen Padang Terap yang bertindak untuk menyelaras informasi terkini berkaitan penularan virus COVID-19.

“Inisiatif yang diterajui oleh Biro Penerangan UMNO Bahagian Padang Terap ini akan diselaraskan bersama pihak Hospital Kuala Nerang, Pejabat Kesihatan Daerah Padang Terap, Pejabat Penerangan Daerah dan Ibu Pejabat Polis Daerah Padang Terap,” tambahnya.

Ujarnya lagi, penduduk dalam Parlimen Padang Terap boleh menghubungi talian dan individu yang dipertanggungjawabkan untuk mendapatkan sebarang maklumat terkini atau melaporkan kes COVID-19, seperti senarai yang disertakan di bawah.

1. Pejabat UMNO Bahagian Padang Terap: 04-786 6146
2. Zahir Zainuddin: 019-418 2353
3. Hj Roslan Rahman: 019-444 6556
4. Eda Ibrahim YAKED: 019-412 8449
5. Hazrina Harun: 011-6313 9136
– UMNO ONLINE

Leave a Reply