COVID-19: Bersama Tabah Harungi Cabaran Besar, Terima Kasih Wira Wirawati Negara – Mohamad

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata rakyat Malaysia perlu tabah mengharungi cabaran besar ekoran penularan virus COVID-19.

Mohamad dalam satu hantaran di Facebook menyeru rakyat semua menjaga kesihatan dan mengelakkan keluar kecuali jika keperluan penting dalam tempoh kawalan pergerakan ini.

“Mari kita bekerjasama untuk membendung wabak virus COVID-19 ini bersama, Insya-Allah,” ujarnya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau itu juga mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat khususnya mereka yang bertungkus-lumus tanpa jemu.

“Kepada pakar-pakar dan petugas yang bertungkus-lumus menangani krisis virus COVID-19, saya mengucapkan berbanyak terima kasih.

“Jasa anda akan diingati, wira dan wirawati negara,” tambahnya lagi.

Untuk rekod, Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam satu kenyataannya hari ini menasihatkan orang ramai supaya berada di rumah sepanjang masa sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan yang bermula hari ini hingga 31 Mac ini kecuali untuk memenuhi keperluan asas dan mengamalkan penjarakkan sosial daripada orang sekeliling supaya dapat mengelakkan jangkitan COVID-19.

Manakala kenyataan terbaharu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan bahawa terdapat 11 kes yang telah pulih dan dibenarkan discaj pada hari ini serta menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari COVID-19 dan telah discaj daripada wad adalah sebanyak 60 kes.

Manakala status kes terkini COVID-19 di Malaysia sehingga pukul 12 tengah hari tadi terdapat 117 kes baharu yang telah dilaporkan.

Ini menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 790 kes dan berdasarkan siasatan awal, daripada 117 kes baharu yang dilaporkan hari ini, sebanyak 80 kes adalah berkaitan dengan kluster perhimpunan tabligh di Masjid Jamek Seri Petaling. – UMNO ONLINE

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker