‘Biar TNB tanggung diskaun elektrik, RM500 juta boleh beli ventilator’

Anggota Majlis Tertinggi Umno, Abdul Rahman Dahlan mecadangkan supaya diskaun caj elektrik sebanyak dua peratus ditanggung oleh TNB dan bukan oleh kerajaan.

Beliau berkata kerajaan sebaliknya boleh menggunakan wang subsidi RM500 juta itu untuk membeli alat bantuan pernafasan atau ventilator serta peralatan perubatan lain untuk menangani wabak Covid-19 yang semakin menular di Malaysia.

“Harga minyak dan arang batu sudah murah dan kos operasi TNB sudah berkurangan. Biarlah diskaun itu ditanggung oleh TNB bukannya kerajaan.

“RM500 juta subsidi kerajaan itu boleh digunakan untuk membeli ventilator dan peralatan kesihatan yang lain dalam menghadapi kes-kes yang dijangka akan memuncak dalam beberapa minggu akan datang,” katanya dalam satu kenyataan yang diterbitkan di Umno Online.



Semalam, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan diskaun dua peratus bagi semua pengguna lain dalam sektor komersial, perindustrian dan pertanian serta pengguna domestik susulan kesan ekonomi yang disebabkan oleh pandemik Covid-19.

Beliau berkata diskaun itu membabitkan anggaran peruntukan RM500 juta dan akan dimanfaatkan oleh lebih daripada 10 juta isi rumah.

Selain itu, Abdul Rahman juga membuat beberapa cadangan, termasuk membenarkan pengusaha kimia untuk menukar bisnes kepada membuat hand sanitizer walaupun tidak ada lesen daripada Kementerian Kesihatan atau Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna untuk berbuat demikian.

“Stok hand sanitizer amat terhad dan ianya amat penting untuk pembersihan tangan. Kompoun untuk membuat hand sanitizer tidaklah sukar atau complicated sangat. Lagipun ianya tidak dimakan jadi lesen-lesen tertentu itu boleh dimansuhkan.



“Kalau supply botol plastik tidak mencukupi, benarkan mereka menjual dalam bentuk kuantiti yang boleh diisi dalam botol kosong yang dibawa oleh pembeli,” katanya.

Bekas ahli Parlimen Kota Belud itu berkata semua material atau produk dari China yang tersadai di gudang di pelabuhan Malaysia harus dibenarkan untuk dilepaskan tanpa kuarantin yang terlalu panjang.

“Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berpandangan jangkitan virus melalui hantaran package atau hantaran barangan sangat rendah. Sekurang-kurangnya kilang di Malaysia masih boleh beroperasi,” katanya.

Selain itu, Abdul Rahman turut mencadangkan supaya pengusaha restoran makan dibenarkan untuk terus beroperasi tanpa pelanggan.



“Sekurang-kurangnya mereka boleh menghantar makanan melalui Food Panda atau Grab Food. Budak-budak yang menghantar makanan pun boleh cari pendapatan dalam keadaan sekarang ini,” katanya.

Pemimpin Umno itu juga menggesa kerajaan supaya menharamkan short selling di Bursa Malaysia di mana pelabur boleh menjual saham yang tidak pegang mereka dengan harapan dapat membeli saham tersebut pada harga yang rendah.

Katanya, ini akan menyebabkan harga saham mendapat tekanan jualan dan harga akan jatuh lagi.

Malam semalam, Muhyiddin mengumumkan bahawa kerajaan akan mengenakan perintah pergerakan terhad selama dua minggu bermula 18 Mac hingga 31 Mac.



Perintah itu antara lain membabitkan perkara berikut:

1. Pengharaman semua perhimpunan massa, termasuk kegiatan keagamaan, olahraga, sosial dan kebudayaan.

Semua premis perniagaan perlu ditutup, kecuali pasaraya, pasar basah, kedai runcit dan kedai serbaneka.

2. Semua rakyat Malaysia dilarang ke luar negara manakala rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara diwajibkan menjalani pemeriksaan kesihatan dan kuarantin diri selama 14 hari.



3. Sekatan masuk kepada pelancong dan pelawat asing.

4. Penangguhan semua sekolah dan institusi pembelajaran.

5. Semua institusi pengajian tinggi dan pusat latihan kemahiran perlu ditutup.

6. Semua premis kerajaan dan swasta mesti ditutup kecuali perkhidmatan penting – air, elektrik, tenaga, telekomunikasi, perkhidmatan pos, pengangkutan, maritim, bahan api, gas, pelincir, penyiaran, perkhidmatan kewangan, perbankan, penjagaan kesihatan, farmasi, penjara, pelabuhan, lapangan terbang, keselamatan, pertahanan, pembersihan dan pembekalan makanan.



Lebih banyak maklumat mengenai perintah itu dijangka diumumkan hari ini.

Mkini

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker