Jurucakap COVID-19: KKM, Dr Zul atau mufti?

TIDAK seragam. Mana satu kenyataan media yang betul?

Padahal ini isu besar – wabak COVID-19 yang sudah pun diisytihar pandemik.

Sayangnya, rakyat keliru mana satu yang fake news, mana satu yang sahih menerusi kenyataan dikeluarkan berkaitan wabak ini yang datang daripada sumber-sumber berbeza.

Kementerian Kesihatan biasalah buat kenyataan semasa perkembangan terkini wabak ini.

Tetapi kemudian datang pula sumbernya daripada mufti. Contohnya Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin. Dalam ciapan di laman Facebooknya yang ‘mewakili’ Jakim, kata beliau, “Jakim mencadangkan agar masjid ditutup kepada semua aktiviti selama 10 hari” untuk mengekang jangkitan COVID-19.

Jelas Mohd Asri, perkara itu diputuskan dalam satu muzakarah malam tadi melibatkan Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah dan Menteri Hal Ehwal Agama Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Tidak lama selepas itu pagi ini keluar pula kenyataan Mufti Negeri Sembilan Datuk Mohd Yusof Ahmad menyiarkan keputusan Resolusi Muzakarah Khas Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia.

Kata Mohd Yusof, muzakarah berpandangan, semua aktiviti masjid dan surau termasuk solat berjemaah dan solat Jumaat ditangguhkan untuk tempoh bermula 17 hingga 26 Mac 2020.

Mana perginya jurucakap Jakim? Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri pula sekadar buat kenyataan umum mengenai perjalanan mesyuarat muzakarah berkisar “siapa yang hadir, siapa kendali mesyuarat”.

Dan mahu umat Islam mematuhi semua makluman daripada Kementerian Kesihatan, Jabatan Mufti dan jabatan agama negeri masing-masing.

Tetapi itulah yang berlaku. Rakyat, apa lagi umat Islam tidak pasti arahan mana yang perlu dipatuhi dan didulukan. Siapa yang lebih credible? Kementerian Kesihatankah, Jabatan Muftikah atau Jabatan/ Majlis Islam negeri-negeri?

Atau menteri hal ehwal agamakah atau yang lebih layak dipercayai, Perdana Menteri?

Mahu tak mahu, kita akur di negara ini terdapat 14 Jabatan Mufti Negeri yang berbeza-beza mewakili negeri masing-masing.

Malah pernah berlaku sebahagian fatwa dikeluarkan oleh negeri-negeri ini didapati tidak selari antara satu sama lain. Keadaan ini menimbulkan konflik terutama dalam pentadbiran undang-undang.

Walaupun setiap negeri mempunyai Enakmen Hal Ehwal Pentadbiran Agama Islam yang hampir seragam, mempunyai peruntukan rujukan hukum syarak (qawl muktamad) yang sama dan pemantauan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan dalam sesuatu isu fatwa nasional, namun sebahagian fatwa tersebut masih lagi mendapat perselisihan keputusan.

Keadaan ini mewujudkan situasi hukum yang tidak adil, tiada keselarasan dalam melakukan ijtihad, yang menafikan maksud kesaksamaan dalam keputusan hukum syarak dalam negara ini.

Justeru berdasarkan hal ini, kajian dijalankan untuk mengenal pasti punca ketidakselarasan fatwa ini, faktor-faktor yang mempengaruhi dan langkah serta cadangan untuk mengatasinya.

Suatu ketika beberapa tahun lepas ada kajian dibuat mengenai isu ketidakseragaman fatwa ini. Kajian mendapati Kerajaan Persekutuan melalui Jakim telah melakukan beberapa inisiatif untuk mengatasi hal ini.

Namun sikap sesetengah ahli jawatankuasa fatwa negeri yang ketat (rigid) kepada Mazhab Syafi’i dan penguasaan ilmu dalam menerima perbezaan pandangan (mura’ah al-khilaf) mengekang kepada capaian matlamat ini.

Kes jangkitan COVID-19 di luar China meningkat lebih 13 kali ganda dalam masa hanya dua minggu.

Virus Wuhan ini sehingga semalam 15 Mac membunuh kira-kira 5,839 orang selain 156,760 lagi terjangkit menjadi pandemik global.

Kementerian Kesihatan harus menyeragamkan kenyataan mengenai perkembangan jangkitan COVID-19 ini.

Biarlah satu atau dua sahaja jurucakapnya – sama ada Menteri Kesihatan atau menteri hal ehwal agama atau setinggi tahap Perdana Menteri. – SuaraMerdeka

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker