COVID-19: Semua aktiviti, persidangan, perhimpunan, mesyuarat agung pertubuhan perlu ditunda hingga 30 Jun – ROS

Semua pertubuhan dilarang daripada mengadakan program, aktiviti, persidangan, perhimpunan dan mesyuarat agung pertubuhan sehingga 30 Jun, selaras dengan arahan-arahan yang dikeluarkan oleh kerajaan berikutan penularan jangkitan COVID-19, menurut Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM).

Menurut satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini JPPM berkata sebagai sebuah jabatan kerajaan yang mengawal selia pertubuhan-pertubuhan berdaftar di Malaysia turut terlibat dengan arahan-arahan ini kerana pertubuhan tersebut akan melaksanakan pelbagai program termasuk mesyuarat pertubuhan di pelbagai peringkat.

“Mesyuarat-mesyuarat ini perlu dilaksanakan seperti yang telah ditetapkan dalam perlembagaan pertubuhan masing-masing. Walau bagaimanapun, memandangkan situasi penularan COVID-19 ini semakin meruncing ketika ini, maka JPPM memaklumkan bahawa semua pertubuhan adalah DILARANG daripada mengadakanprogram/aktiviti/ persidangan/ perhimpunan/ mesyuarat agung pertubuhan sehingga 30 Jun 2020 selaras dengan arahan-arahan yang telah dikeluarkan oleh kerajaan,” menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu lagi, larangan ini adalah terpakai di setiap peringkat pertubuhan termasuk cawangan-cawangan di seluruh negara.

Arahan khas yang dikeluarkan ini adalah selaras dengan kuasa-kuasa Pendaftar di bawah peruntukan Seksyen 3A, Akta Pertubuhan 1966 (Akta 335).

“Namun, sekiranya sehingga pada tarikh 30 Jun 2020 wabak COVID-19 masih dalam situasi meruncing maka pertubuhan hendaklah mengemukakan permohonan kepada JPPM untuk pertimbangan bagi perlanjutan tempoh daripada tarikh awal yang telah ditetapkan,” menurut kenyataan itu lagi.

Permohonan perlanjutan adalah bertujuan untuk mengelakkan penyalahgunaan oleh pertubuhan berdaftar ke atas undang-undang tubuh pertubuhan serta Akta 335.

Awani

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker