Mahkamah tolak permohonan lucut hak dana milik Jakel Trading lebih RM10 juta

Mahkamah Tinggi hari ini menolak permohonan pendakwaan untuk melucut hak ke atas wang berjumlah RM10,747,042.77 didakwa berkaitan dengan skandal penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang disita daripada Jakel Trading Sdn Bhd.

Hakim Muhammad Jamil Hussin membuat keputusan itu selepas berpuas hati bayaran yang diterima oleh Jakel Trading selaku responden adalah dalam transaksi urus niaga biasa syarikat itu.

“Dalam kes ini apa yang perlu ditentukan oleh mahkamah ialah sama ada harta yang disita RM10,747,042.77 adalah hasil daripada aktiviti haram.

“Bayaran yang diterima oleh responden adalah bayaran bagi barangan yang dibekalkan dan responden tidak seharusnya dipersalahkan serta dihukum kerana menerima bayaran bagi barangan yang dibekalkannya.

“Atas imbangan kebarangkalian pemohon gagal membuktikan harta tersebut adalah hasil daripada aktiviti haram,” katanya.

Timbalan pendakwa raya daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Farah Yasmin Salleh selaku pemohon kemudian memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihaknya akan memfailkan rayuan terhadap keputusan tersebut, justeru memohon untuk satu penggantungan pelaksanaan perintah terhadap keputusan itu.

Hakim Muhammad Jamil memerintahkan pemohon supaya memfailkan permohonan tersebut dalam masa 7 hari bermula tarikh hari ini.

Dalam prosiding itu, Jakel Trading diwakili peguam Thevini Nayagam dan Habizan Habeeb Rahman.

FMT

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker