Dakwah kreatif era baharu

Oleh Mohd Ajib Ismail

DAKWAH bertujuan melaksanakan islah kepada ummah dan penambahbaikan dalam masyarakat.

Firman Allah SWT bermaksud “Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam) dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang yang berjaya.” (Surah Ali Imran ayat 104)

Justeru, pendekatan dakwah harus dipelbagaikan agar ia kekal relevan dan menepati keperluan kelompok sasaran.

Dalam konteks kreativiti dakwah, pelbagai aspek perlu dipertimbangkan termasuk memanfaatkan media sebagai platform penyebaran dakwah yang berkesan.

Dakwah di era baharu perlu digerak melalui pelbagai bentuk program media massa seperti radio, televisyen, media cetak, media baharu seperti Facebook, aplikasi WhatsApp, Instagram, YouTube dan lain-lain.

Perkara ini seiring perkembangan Revolusi Industri 4.0 yang memanfaatkan pelbagai aplikasi digital sebagai medium interaksi masyarakat.

Susulan itu, penyediaan kandungan dan bahan dakwah untuk tujuan hebahan seperti tazkirah pendek, kapsul dakwah, sketsa dan drama pendek, poster digital serta status Facebook dan WhatsApp mengandungi mesej dakwah yang ringkas, padat dan menarik minat pembaca amat wajar dipergiatkan.

Mengambil kira perubahan kelompok masyarakat yang menjadi sasaran dakwah seiring dengan perubahan masa dan zaman, lebih-lebih lagi masyarakat kini turut terdiri daripada khalayak yang rata-ratanya merupakan generasi baharu yang lebih tertarik dengan kandungan kreatif dan penggunaan media sosial, maka pendekatan dakwah yang lebih santai, interaktif dan menarik minat pelbagai golongan terutama golongan muda wajar dipertingkatkan.

Perkara ini penting agar minat dan perhatian masyarakat tidak hanya tertumpu kepada pelbagai bentuk kandungan yang sia-sia dan melalaikan.

Penyampaian dakwah kreatif harus digerakkan melalui penggunaan media sosial yang menjadi pilihan utama sebahagian besar masyarakat berbanding media konvensional seperti radio dan televisyen.

Gaya hidup masyarakat kini menuntut mereka agar mendapat akses kepada pelbagai maklumat termasuk mesej dakwah pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja berada.

Selain itu, kreativiti dakwah dalam bentuk penyampaian atau program perlu dilaksanakan bagi menarik lebih ramai masyarakat untuk hadir mengimarahkan masjid dan surau.

Pendakwah juga boleh melaksanakan pendekatan dakwah menemui masyarakat melalui aktiviti seperti dakwah jalanan atau dakwah santai di lapangan mendekati kumpulan sasaran.

Masjid dan surau yang menjadi institusi dakwah juga harus dikekalkan fungsi dan peranannya sebagai pusat beribadah dan penyatuan ummah.

Elakkan menjadikan masjid sebagai tempat bersengketa dan membesar-besarkan jurang perbezaan.

Firman Allah SWT bermaksud: “Jangan engkau sembahyang di masjid itu selama-lamanya, kerana sesungguhnya masjid (Qubaa’ yang engkau bina wahai Muhammad), yang telah didirikan di atas dasar takwa dari mula (wujudnya), sudah sepatutnya engkau sembahyang padanya. Di dalam masjid itu ada orang lelaki yang suka (mengambil berat) membersihkan (mensucikan) dirinya; dan Allah mengasihi orang yang membersihkan diri mereka (zahir dan batin).” (Surah al-Taubah ayat 108)

Justeru, pihak yang dipertanggungjawabkan menjalankan tadbir urus masjid dan surau perlu merancang dan melaksanakan pelbagai bentuk program pengimarahan sama ada berbentuk tradisi mahupun kreatif mengambil kira keperluan masyarakat setempat.

Program pengimarahan juga harus dipelbagaikan agar dapat menarik minat pelbagai latar belakang masyarakat untuk menyertainya.

Di Wilayah Persekutuan, pelbagai bentuk program pengimarahan di masjid sudah dilaksanakan.

Program dakwah tidak lagi terhad kepada ceramah, kuliah, kelas pengajian dan tazkirah secara tradisional.

Ia turut membabitkan program dakwah kreatif melalui konsep penganjuran karnival dipenuhi pengisian dakwah secara tidak langsung seperti JAWI Food Bank, pemberian wang saku pelajar sekolah, perkhidmatan gunting rambut dan program televisyen Ma’idatul Quran berkonsep hiburan rohani membudayakan al-Quran di kaca televisyen.

Manual Standard Penarafan Masjid di Wilayah Persekutuan juga diperkenalkan sebagai usaha menyediakan persekitaran masjid yang kondusif.

Ia diharapkan dapat meningkatkan penyertaan masyarakat dalam majlis ilmu dan program pengimarahan di masjid. Pendakwah turut diminta mengikuti syarat pentauliahan sedia ada di Wilayah Persekutuan agar menepati standard penyampaian dakwah yang ditetapkan.

Penulis adalah Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker