Batal salat Jumaat, mass mingguan untuk sekat jangkitan Covid-19, kata badan pemikir

Sebuah badan pemikir menggesa rumah ibadat, termasuk surau, masjid, kuil dan gereja supaya tidak mengadakan perhimpunan dan majlis keagamaan besar susulan peningkatan kes Covid-19 yang dilaporkan.

Pusat Galen untuk Dasar Kesihatan dan Sosial berkata, ini termasuklah salat Jumaat, mass dan acara keagamaan lain yang melibatkan ramai orang.

Bercakap kepada FMT, ketua pegawai eksekutif Galen Azrul Mohd Khalib berkata, insiden terbaru melibatkan kira-kira 10,000 orang yang menghadiri satu perhimpunan tabligh di sebuah masjid di Seri Petaling mendedahkan kurang kesedaran atau sikap kurang peduli berkait penularan wabak Covid-19.

“Ini sangat membimbangkan,” katanya.

Malam tadi, Kementerian Kesihatan (KKM) berkata, kes jangkitan Covid-19 yang ke-131 menghadiri perhimpunan berkenaan.

Ia juga menasihatkan mereka yang menghadiri perhimpunan tersebut segera menghubungi klinik kesihatan terdekat atau Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis (CPRC) dengan segera bagi menghalang jangkitan berikutnya.

“Berikutan gelombang kedua virus tersebut dan ancaman jangkitan lebih meluas, KKM mengesyorkan program awam dihadkan bagi menghalang penularan wabak berkenaan.”

Beliau berkata, dalam beberapa kes, kementerian mencadangkan program awam tertentu tidak diteruskan, selain melarang individu yang menunjukkan gejala jangkitan menghadirinya.

Azrul berkata, susulan lebih banyak kes dilaporkan setiap hari, jelas bahawa langkah lebih drastik perlu dilaksanakan.

“Jika gereja Katolik di Rom boleh membatalkan semua sambutan dan acara mass selama sebulan bagi melindungi pengikutnya, maka badan agama di Malaysia juga boleh melakukan perkara sama di sini.”

Beliau berkata, tempat ibadat harus memberitahu khalayak masing-masing untuk tidak mengadakan himpunan besar dan majlis keagamaan lain sehingga notis baru dikeluarkan.

“Ini akan membantu usaha Kementerian Kesihatan mengawal wabak tersebut, memastikan perhatian diberi kepada mereka yang dijangkiti dan akhirnya boleh menyelamatkan nyawa.”

FMT

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker