PM perjelas senarai Kabinet kepada Ahli Parlimen PN, GPS

Share

Satu perjumpaan antara Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, bersama semua Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dijangka diadakan di Kompleks Seri Perdana di sini, jam 3 petang ini.

Sumber PN yang dihubungi mengesahkan perjumpaan itu, dengan pembentukan Kabinet menjadi agenda utama perbincangan.

“Ya, hal berkaitan pembentukan Kabinet PM (Perdana Menteri),” katanya kepada BH tanpa memperincikan lebih lanjut.

Mesej jemputan majlis di Dewan Banquet, Seri Perdana itu dikatakan diedarkan pejabat Perdana Menteri kepada semua Ahli Parlimen terbabit sejak semalam.

BH turut difahamkan, Muhyiddin dijangka menjelaskan keputusannya memilih beberapa individu bukan dari kalangan Ahli Parlimen bagi mengukuhkan barisan Kabinet.

Malah, beberapa sumber pemimpin PN berkata, Muhyiddin turut menyenaraikan kembali beberapa bekas menteri era pimpinan Datuk Seri Najib Razak dan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Difahamkan, Perdana Menteri juga dijangka memegang satu portfolio menteri.

Hampir semua Ahli Parlimen membabitkan Barisan Nasional (BN), PAS, BERSATU, GPS dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) bakal menghadiri pertemuan itu, manakala yang tidak dapat hadir sudah memberi sebab masing-masing.

Pertemuan itu diadakan sebelum pengumuman rasmi senarai Kabinet oleh Muhyiddin di Pejabat Perdana Menteri, jam 5 petang ini.

Pada jam 11 pagi tadi Muhyiddin menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk mempersembahkan senarai barisan Kabinet.

BH

Leave a Reply