Siasat pendakwaan politik AGC

Oleh Ab Jalil Backer

KEPUTUSAN kerajaan melantik Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Idrus Harun sebagai Peguam Negara yang baharu merupakan satu langkah yang sangat baik dalam memulihkan institusi perundangan negara.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin patut menghentikan amalan lama melantik individu yang mempunyai kecenderungan politik mengetuai institusi yang mempunyai tanggungjawab melaksanakan undang-undang.

Jawatan Ketua Polis Negara dan Ketua Persuruhjaya SPRM juga harus dalam kalangan pegawai-pegawai yang layak berdasarkan merit perkhidmatan dalam institusi terbabit, bukannya kerana kecenderungan politik.



Lantikan berbau politik dalam jawatan-jawatan ini memang berlaku dari masa ke masa namun ia tidaklah begitu ketara seperti yang berlaku pasca Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14)

Apabila memenangi PRU-14, Pakatan Harapan (PH) melakukan lantikan politik dalam Pejabat Peguam Negara -AGC (Thommy Thomas), SPRM (Mohd Shukri Abdull dan Latheefa Koya), PDRM (Hamid Bador) dan SPR (Azhar Harun).

Ini bermakna semua agensi penguatkuasaan dan pelaksana undang-undang berada dalam pengaruh parti politik PH secara serentak. Ini menyebabkan tiada lagi proses semak dan imbang, sebaliknya yang berlaku hanyalah proses witch-hunt memusnahkan musuh-musuh politik.

Maka sepanjang 18 bulan lalu rakyat menyaksikan penguatkuasaan undang-undang dan pendakwaan sudah menjadi seperti sarkas media atas tujuan memalukan musuh-musuh politik PH.



Tommy Thomas dengan jelas menggunakan kuasa budi bicara sebagai Peguam Negara secara melampau. Terdapat sekurang-kurang 15 kes dalam pendakwaan membabitkan pemimpin dan aktivis PH telah ditarik balik.

Tuduhan

Paling menggemparkan tentulah keputusan AGC mengemukakan nolle prosequi (memberhentikan pendakwaan) terhadap Setiausaha Agung DAP, Guan Eng dan rakan subahatnya Li Koon, mengikut Seksyen 254 Kanun Acara Jenayah (CPC).

Fakta kes Lim Guan Eng jauh lebih serius daripada kes bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohamad Khir Toyo. Namun ketika Mohamad Khir dijatuhkan hukuman penjara, Lim Guan Eng dibebaskan oleh AGC kerana dilantik sebagai Menteri Kewangan.



Dalam masa sama AGC mengeluarkan pertuduhan terhadap bekas Perdana, Mohd Najib Tun Razak, bekas Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid sendiri berhadapan lebih 40 pertuduhan yang berdasarkan fakta-fakta pertuduhan menimbulkan persepsi seolah-olah berlaku overzealous prosecution yang bermotifkan memburukkan musuh politik sebelum didapati bersalah.

Sepanjang 18 bulan lalu terdapat lebih 80 individu dan entiti yang menerima sumbangan dan pembayaran daripada akaun Mohd Najib dikenakan pertuduhan di bawah Seksyen 92(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram.

Terdapat juga beberapa pemimpin UMNO yang sedang berhadapan perbicaraan rasuah disaman pula oleh LHDN kerana tidak membayar cukai berdasarkan fakta kes jenayah tadi.



LHDN tiada hak mengutip cukai pendapatan daripada kes jenayah kerana ia menjadikan perbuatan tersebut tidak salah. Namun AGC tetap membenarkan keadaan ini kerana ia membabitkan pemimpin politik musuh. Tidak pernah kita dengar pengedar dadah disaman cukai pendapatan oleh LHDN.

Tindakan melambakkan pendakwaan dan pertuduhan ini seperti orang menebar jala di laut. Nasiblah sangkut yang mana itulah habuan mereka.

Peguam Negara yang baharu harus menubuhkan satu jawatankuasa bebas bagi melihat sama ada kertas-kertas pendakwaan dibuat dalam sekelip mata selepas PRU-14 lalu berlandaskan prinsip keluhuran undang-undang atau kerana kepentingan politik.

Sinar



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker