Mahathir tolak cadangan Anwar nak jadi TPM

Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad hari ini mendedahkan Presiden PKR, Anwar Ibrahim telah mencadangkan untuk menjadi timbalan perdana menteri jika Mahathir berjaya membentuk kerajaan baru.

The Sun melaporkan Dr Mahathir berkata perkara ini diutarakan semasa mesyuarat PH yang bersedia sekali lagi untuk menyokong pengerusi Bersatu dalam usaha menggagalkan Muhyiddin Yassin yang ketika itu sedang membentuk gabungan parti pemerintah yang baru.

Anwar bertemu dengan Mahathir antara malam 28 Feb dan pagi 29 Feb lalu diikuti oleh delegasi berasingan pemimpin PH yang berjumpa Mahathir pagi itu untuk menyatakan sokongan mereka kepadanya sebagai perdana menteri.

Bagaimanapun, Mahathir berkata beliau menolak cadangan Anwar dan mahu isterinya, Dr Wan Azizah Wan Ismail menjadi timbalan perdana menteri.

Mahathir, yang bertemu dengan anggota akar umbi Bersatu di Langkawi hari ini, berkata beliau merasakan waktunya tidak sesuai pada ketika itu.

Beliau juga mendakwa terdapat maklum balas pihak yang tidak selesa dengan Anwar berada dalam kepimpinan kerajaan.

“Anwar dilihat lebih cenderung bermain politik dan bukan seorang pentadbir,” katanya, petik The Sun.

Bagaimanapun, kerajaan baru yang dicadangkan itu tidak menjadi kenyataan selepas Mahathir dikalahkan langkah Muhyiddin, yang pada 1 Mac mengangkat sumpah sebagai perdana menteri baru.

Muhyiddin telah membawa Bersatu keluar PH dan bersama-sama MP PKR, BN, PAS dan GPS, membentuk gabungan baru PN dan menguasai kerajaan persekutuan.

Akibat penjajaran politik ini, Bersatu terpecah kepada dua kem – kumpulan Muhyiddin dan Mahathir.

Dr Mahathir berkeras Bersatu tidak wajar bekerjasama dengan Umno, yang merupakan sebahagian daripada pentadbiran BN dahulu, kerana ramai pemimpinnya sedang dibicarakan di mahkamah atas tuduhan rasuah.

Mkini

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker