UMNO tak ‘lobi’ jawatan TPM – Zahid Hamidi

Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hari ini menafikan UMNO ‘melobi’ untuk jawatan nombor dua di dalam kerajaan.

Sebaliknya beliau memberitahu, UMNO telah mengemukakan beberapa nama Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin beberapa hari yang lalu untuk memilih individu yang benar-benar layak.

“Itu adalah budi bicara perdana menteri untuk menentukan siapa yang bakal dilantik selepas mengambil kira beberapa pertimbangan daripada senarai itu,” katanya di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, Jalan Duta di sini pada Jumaat selepas menghadiri perbicaraan kes membabitkannya.

Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO merangkap Pengerusi BN itu menghadapi 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya bagi kes pecah amanah, lapan membabitkan tuduhan rasuah dan 27 bagi kes pengubahan wang haram membabitkan dana milik Yayasan Akalbudi.

Dalam perutusan pertama Muhyiddin selepas dilantik sebagai perdana menteri, beliau memberi gambaran bahawa hanya mereka yang bersih, berkaliber dan berintegriti sahaja yang akan dilantik sebagai anggota jemaah menterinya.

Kenyataan ini seolah-olah memberi gambaran bahawa Presiden UMNO yang sedang berdepan dengan perbicaraan di mahkamah itu barangkali akan diketepikan dalam pembentukan Kabinet baharu.

Ahmad Zahid sebelum ini pernah menyifatkan pertuduhan yang dikenakan terhadapnya adalah pendakwaan politik.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu juga menegaskan yang beliau akan membersihkan dirinya di mahkamah tanpa kesnya digugurkan.

Awani

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker