Najib: PN dah dibincang berbulan-bulan – Laporan

Perbincangan mengenai pembentukan Perikatan Nasional telah dilakukan lebih awal, menurut bekas perdana menteri Najib Razak, lapor Reuters.

Najib dipetik Reuters pada Rabu berkata “perbincangan mengenai gabungan baru telah berlangsung selama berbulan-bulan.”

Reuters turut melaporkan perancangan politik yang membawa kepada Dr Mahathir Mohamad meletak jawatan sebagai perdana menteri telah bermula beberapa bulan dahulu dengan pengetahuan beliau yang juga pengerusi Bersatu.

Rancangan itu menyasarkan untuk menyekat Presiden PKR Anwar Ibrahim daripada menjadi perdana menteri, menurut ramai sumber yang memberitahu Reuters.

Bagaimanapun, semua perancangan itu tidak menjadi, kata sumber yang mempunyai pengetahuan langsung mengenai pertukaran kerajaan tersebut kepada Reuters tetapi enggan dinamakan “kerana perkara berkenaan sensitif.”

Susulan kemelut politik itu, Dr Mahathir telah dikalahkan rakan dan sekutu rapatnya, termasuklah Muhyiddin Yassin yang mengambil alih jawatan perdana menteri.

Beliau juga dilaporkan tidak mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Salah satu sumber yang rapat dengan Muhyiddin dipetik Reuters berkata, “matlamat utamanya ialah untuk semua orang menghalang Anwar.”

Reuters juga melaporkan sumber berkata: “Muhyiddin dan Mohamed Azmin Ali, ketika itu anggota parti (PKR pimpinan) Anwar berhubung dengan pembangkang Umno dan PAS bagi meneroka kemungkinan peluang penjajaran (baru politik).”

Berdasarkan rancangan asal, langkah menyekat Anwar ini dikatakan akan bermula selepas Sidang Kerjasama Asia Pasifik (Apec) di Kuala Lumpur pada November depan.

Persoalan mengenai peralihan kuasa perdana menteri daripada Mahathir kepada Anwar akan ditentukan di parlimen dan dijangka presiden PKR itu tidak akan mendapat undi majoriti ketika sidang Dewan Rakyat, kata laporan itu lagi.

Bagaimanapun, Mahathir enggan bekerjasama dengan semua pemimpin Umno, khususnya Najib yang sedang dibicarakan di mahkamah.

Jurucakap Mahathir, Muhyiddin, Anwar dan Azmin bagaimanapun enggan mengulas permintaan Reuters untuk mendapatkan penjelasan mengenai hal ini.

Mkini

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker