Latheefa Koya Letak Jawatan: Kembalikan Kemandirian SPRM, Keyakinan Rakyat – Dr Asyraf

Share

Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia menyambut baik perletakan jawatan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Latheefa Koya, yang juga merupakan bekas Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Kata Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, selepas perletakan jawatan Peguam Negara Tommy Thomas, ia merupakan berita kedua perletakan jawatan melibatkan lantikan politik kerajaan Pakatan Harapan (PH) terdahulu yang bukan sahaja mencabuli institusi-institusi penting negara bahkan menamatkan awan hitam yang menyelubungi prinsip kedaulatan undang-undang ‘Rule of Law’ selama 21 bulan.

“Demi mengembalikan kemandirian SPRM dan memartabatkan prinsip Kedaulatan Undang-Undang, Pemuda UMNO dengan ini menuntut lima perkara,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Justeru tambahnya, Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia menegaskan akan keperluan kerajaan baharu di bawah Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin untuk menggandakan usaha memerangi rasuah dengan memastikan kemandirian SPRM, demi memulihkan keyakinan rakyat dan pelabur pada institusi-institusi penting yang menjadi wajah sistem keadilan di Malaysia.

Berikut Lima Tuntutan Pemuda UMNO Malaysia:

(1) Meletakkan SPRM di bawah kuasa Parlimen, supaya institusi ini benar-benar bebas dan dilihat bebas daripada pengaruh politik;

(2) Membuka kembali kertas siasatan rasuah dan pecah amanah yang melibatkan pemimpin-pemimpin PH yang dihentikan termasuklah skandal rasuah terowong dasar laut dan tiga lebuhraya melibatkan pemimpin Dap Lim Guan Eng bernilai RM6.3 bilion;

(3) Meneruskan kertas siasatan dan pendakwaan rasuah yang melibatkan pemimpin-pemimpin politik tanpa pilih kasih termasuklah pemimpin parti Kerajaan Baharu seperti bekas Exco Melaka PPBM Mohd Rafiq Naizamohideen dan mana-mana juga pemimpin parti samaada UMNO mahupun PAS, jika ada;

(4) Melantik segera Ketua Pesuruhjaya SPRM baharu yang tidak sesekali terkait dengan mana-mana parti politik, jauh sekali yang pernah memegang jawatan parti sepertimana amalan kerajaan PH terdahulu; dan

(5) Menghentikan amalan lantikan politik dalam badan-badan yang menjadi tonggak keadilan dan kedaulatan undang-undang termasuklah Institusi Peguam Negara, SPRM dan Suruhanjaya Pilihan Raya. – UMNO ONLINE

Leave a Reply