COVID-19: 28 kes baharu, Malaysia catat peningkatan tertinggi dalam sehari

Share

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada Jumaat mengesahkan 28 lagi kes baharu positif COVID-19.

Ketua Pengarah KKM, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata ia menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di negara ini adalah sebanyak 83 kes setakat pukul 12 tengah hari Jumaat.

Dr Noor Hisham berkata kesemua kes tersebut merupakan warganegara Malaysia dan mereka dikesan untuk rawatan selanjutnya.


“Kontak-kontak rapat kes ini juga sedang dikenal pasti untuk siasatan dan pengambilan sampel selanjutnya.
“Ini menjadikan jumlah kumulatif kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 83 kes.

“Daripada jumlah ini, 65 orang adalah warganegara Malaysia, 15 orang adalah warganegara China dan tiga orang adalah lain-lain warganegara iaitu Amerika Syarikat, Jepun serta Itali,” kata Dr Noor Hisham dalam satu sidang media pada Rabu.

Ia difahamkan bahawa siasatan sama ada kes ke-68 hingga kes ke-83 mempunyai kaitan dengan kes ke-26 masih dijalankan.


Untuk rekod, kes ke-26 positif COVID-19 merupakan seorang pekerja Khazanah Nasional Berhad.

Kakitangan Khazanah tersebut dikatakan mempunyai sejarah perjalanan ke Shanghai, China sekitar pertengahan Januari lalu.

Sehingga kini, Dr Noor Hisham berkata sebanyak 956 kontak rapat telah dikenal pasti.


“Daripada jumlah ini, sebanyak 258 kontak rapat kepada kluster yang berkaitan dengan kes ke-26 telah dikesan dan telah diambil sampel.

“Daripada kluster ini, 18 orang telah disahkan positif COVID-19, 70 orang adalah negatif namun begitu mereka diletakkan di bawah perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah untuk tempoh 14 hari.

“Seramai 170 orang lagi telah berjaya dikesan dan masih menunggu keputusan makmal,” tambahnya.

Katanya lagi, KKM masih menjalankan siasatan dan aktiviti pengesanan kontak rapat masih diteruskan bagi mengenalpasti punca di mana kes mendapat jangkitan dan seterusnya mencegah penularan jangkitan tersebut.

Satu lagi kes pulih

Dalam perkembangan yang sama, beliau berkata kes ke-24 yang disahkan positif COVID-19 sebelum ini telah pulih dan dibenarkan discah daripada wad Hospital Kuala Lumpur.

“Ini menjadikan 23 kes telah pulih sepenuhnya setakat ini daripada COVID-19 dan telah discaj daripada wad,” katanya.

Kes ke-24 merupakan seorang wanita berusia 41 tahun yang mempunyai sejarah perjalanan ke Jepun pada Januari dan ke Indonesia pada awal Februari.

Pesakit mempunyai gejala demam dan telah mendapat rawatan pada 17 Feb sebelum dimasukkan ke hospital swasta pada 20 Feb.

Awani

Leave a Reply