BN dan Muafakat Nasional Terus Fokus Siap Siaga Jentera Pilihan Raya – Annuar

Setiausaha Agung UMNO Tan Sri Annuar Musa berkata, Barisan Nasional (BN) dan Muafakat Nasional (MN) akan kekal fokus bagi mempersiap siagakan jentera pilihan raya dan memperkemaskan pentadbiran parti.

Jelas beliau, selain itu beliau juga berharap BN dan MN dapat belajar daripada kejatuhan Pakatan Harapan (PH).

“Kejatuhan PH adalah kerana tumbangnya kerjasama antara sesama mereka. Dengan mengambil iktibar dari perkara itu, BN dan MN berazam untuk terus memperkasakan konsep yang kita bawa supaya kita boleh benar-benar memberikan khidmat kepada rakyat sebaik yang boleh. Kerana itu juga kita merasakan kita harus sentiasa berada dalam keadaan terbaik dari segi penyusunan, jentera, strategi dan sebagainya.

“Jadi dalam perbincangan pertemuan saya dengan MCA, kita telah mengadakan perbincangan bertukar maklumat dan pandangan, tidak kurang juga membincangkan suasana politik menerusi pemerhatian parti masing-masing berhubung dengan sentimen rakyat berkaitan perkembangan semasa supaya kita sentiasa mengambil perhatian apakah yang dirasai oleh rakyat dan para pengundi bagi mempastikan parti masing-masing mengambil pendekatan yang sensitif dan responsif kepada sentimen dan perasaan para pengundi.

“Sebagai sebuah gabungan parti yang lama, kita ingin memastikan yang terbaik kerana kita tidak mahu menjadi parti yang disalahertikan… kalau bekerjasama rapat dengan MCA kononnya nak membelakangkan agenda Melayu, kalau bercakap kepentingan orang Melayu atau perpaduan Melayu kononnya kita mahu menjadi Taliban dan bila perkara seperti ini disebut berulang kali maka akhirnya terbina persepsi yang tertentu yang akhirnya menyebabkan kita ditolak atau dihukum oleh rakyat kerana kita lemah dari segi membina persepsi yang tepat dan benar berhubung parti kita,” ujar beliau kepada media selepas menerima kunjungan hormat daripada Ibu Pejabat MCA di Menara Dato’ Onn, hari ini.

Tambah Annuar, dalam keadaan sekarang ini dinamika yang sedang berubah dengan pantas dan lanskap politik semasa yang agak berbeza dari lazim maka seharusnya rakan komponen termasuk MN hendaklah mempersiapsiagakan diri supaya tidak ada batas komunikasi, tidak ada pembinaan persepsi yang salah tentang apa-apa yang kita lakukan.

“Jadi, dalam hubungan ini kerjasama dengan media juga sangat mustahak. Saya berharap UMNO dan MCA akan mengamalkan dasar penuh keterbukaan, tidak boleh ada ‘secretive’ misalnya dalam masa dua minggu lepas banyak perkara yang berlaku, tetapi kita akan menjadi telus namun secara prinsip umum kita merasakan UMNO, MCA dan parti-parti yang sudah berada dalam saf parti memerintah, kita harus terbuka memahami apa sentimen rakyat di bawah, bersikap sensitif dan rensponsif, jangan berada dalam dunia sendiri.

“Kita harus menganggap semua masalah rakyat adalah masalah bersama dan saya juga berharap parti-parti kita sebagai komponen kepada Perikatan Nasional (PN), dapat menjadi parti yang menyumbang untuk memperkukuhkan kepimpinan kerajaan sekarang di bawah Perdana Menteri.

“Justeru, kita diperingkat parti berazam untuk mempersiap siagakan diri membantu mengukuhkan jentara pentadbiran kerajaan baru,” ujar beliau lagi. – UMNO ONLINE

Related Articles

Check Also
Close
Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker