Saya bukan pengkhianat, Tun tiada sokongan – Muhyiddin

Saya tiada pilihan, Dr M tiada sokongan, kata Muhyiddin

Muhyiddin Yassin menepis dakwaan beberapa pihak yang menuduhnya sebagai “pengkhianat” selepas beliau menerima pencalonan sebagai perdana menteri ke-8.

Dalam ucapan sulung yang disiarkan secara langsung, Muhyiddin berkata, beliau mengambil masa untuk berfikir secara mendalam sebelum membuat keputusan menerima jawatan tersebut.

“Apa pilhan yang saya ada? Terus menyokong Dr Mahathir yang tidak mempunyai sokongan majoriti atau menerima pencalonan sebagai perdana menteri,” katanya.



Tambahnya, jika beliau terus menyokong bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad, kemelut politik yang melanda negara akan berpanjangan.

Berikutan itu menurutnya, terdapat kemungkinan Parlimen terpaksa dibubarkan dan pilihan raya umum diadakan.

Atas sebab itu, katanya, beliau selaku pemimpin mesti mencari jalan penyelasaan dan tidak boleh membiarkan konflik tersebut berpanjangan.

Semalam, Muhyiddin mengangkat sumpah sebagai PM8 di hadapan Yang di-Petuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah, di Istana Negara.



Istiadat angkat sumpah berkenaan menamatkan kemelut politik yang melanda negara sejak 22 Februari lalu.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, beliau pernah bertemu Mahathir dan meminta tokoh itu menyokongnya sebagai calon PM ke-8.

Kata beliau lagi, Mahathir menyatakan bersedia untuk memberi laluan kepadanya sekiranya mendapat sokongan majoriti.

Dengan sokongan itu, katanya, beliau menerima pencalonan tersebut.



“Saya tahu ada yang marah kepada saya. Seperti yang dijangka, ada pihak yang menggelar saya pengkhianat. Dengarlah baik-baik.

“Saya bukanlah pengkhianat,” katanya.

Dalam pada itu, beliau mengakui kegusaran dan kemahuan rakyat untuk melihat sebuah kerajan yang bersih, berintegriti dan bebas rasuah.

Sebagai langkah permulaan, Muhyidin berikrar untuk melantik Jemaah Menteri dari kalangan individu yang bersih dan bebas korupsi.



“Kerajaan pimpinan saya juga akan memberi keutamaan kepada usaha untuk meningkatkan integriti dan tadbir urus kerajaan yang baik,” katanya dalam ucapan bertajuk ‘Rayuan Kepada Rakyat Malaysia’ yang disiarkan secara langsung tadi.

FMT

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker