Kedudukan MB Kedah tak pasti, PAS cadang nama baru · MYKMU.NET

Kedudukan MB Kedah tak pasti, PAS cadang nama baru

Share

Kedah mungkin menerima menteri besar yang baru susulan kedudukan Mukhriz Mahathir kelihatan tidak menentu.

Mukhriz semalam berkata beliau bersedia menghadapi tindakan disiplin dari Bersatu kerana tidak menyokong perdana menteri baru dan pengerusi parti itu Muhyiddin Yassin.

Dengan krisis politik yang berlanjutan, rayuan dibuat kepada anggota Bersatu Kedah agar terus bersama Mukhriz dan bapanya, bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.

Dalam surat rayuan oleh timbalan pengerusi Bersatu negeri, Major (R) Anuar Abdul Hamid, beliau berkata situasi itu kelihatan tidak baik untuk Bersatu.

“Minggu lalu, kami menyelesaikan segala-galanya dengan baik dan Sultan Kedah gembira dengan Pakatan Harapan dan Bersatu,” kata ketua bahagian Merbok itu.

“Tetapi segalanya berubah. PAS membuat tawaran mereka untuk jawatan tinggi kerana mereka hanya memerlukan dua wakil rakyat dari (Pakatan) Harapan untuk mengambil alih Kedah,” kata Anuar kepada Malaysiakini.

Difahamkan PAS cuba mengemukakan timbalan pesuruhjaya negeri yang juga Adun Jeneri, Muhammad Sanusi Md Nor sebagai calon menteri besar untuk menggantikan Mukhriz.

PAS boleh merampas kerajaan negeri kerana mempunyai kerusi paling banyak iaitu 15 kerusi, diikuti oleh PKR (7), Bersatu (6), Amanah (4), Umno (2) dan DAP (2).

Anuar juga menggesa ahli Bersatu Kedah untuk menyatakan sama ada mereka bersama Mahathir atau sebaliknya.

Anuar, yang berada di kem Mahathir, mengingatkan rakan-rakannya tentang perjuangan mereka dengan PH dan pembentukan Bersatu.

“Kita tentang perasuah, pencuri, penyamun , Kerajaan Kleptokrat dan Allah merestui perjuangan kita.

“Hari ini ada pengkhianat dan pembelot parti yang sanggup bersekongkol dengan bapa bapak penyamun. Ayuh kita nyahkan mereka,” katanya.

Muhyiddin dilantik sebagai perdana menteri kelapan selepas satu minggu pergolakan politik yang menyaksikan Mahathir melepaskan jawatan PM.

Kerajaan diketuai Mahathir tumbang selepas Bersatu keluar dari PH.

Setelah banyak pergolakan politik, Muhyiddin membentuk kerajaan persekutuan baru dengan BN, bekas ahli parlimen PKR dan PAS.

Mkini

Leave a Reply