Bulan diperintahkan solat 5 waktu

Oleh Fahmi Zakaria

KEDATANGAN Rejab menandakan betapa kita sedang menghampiri Ramadan al-Mubarak. Rejab memiliki kelebihannya yang tersendiri seperti bulan lain dalam sejarah bulan Islam. Sebagai Muslim, kita wajib memuliakan bulan ini seperti kemuliaannya di sisi Allah SWT dan Rasulullah SAW.

Hal ini jelas berdasarkan firman Allah SWT: “Sesungguhnya bilangan bulan di sisi (hukum) Allah ialah 12 bulan, (yang telah ditetapkan) di dalam kitab Allah ketika Dia menciptakan langit dan bumi, daripadanya ada empat bulan haram.” Surah al-Taubah, ayat 36

Bulan haram bermaksud bulan yang mulia lagi dihormati. Empat bulan haram itu adalah seperti dinyatakan oleh Rasulullah SAW: “Setahun terdiri daripada 12 bulan dan daripadanya terdapat empat bulan yang haram. Tiga bulan mengikut turutan iaitu Zulkaedah, Zulhijah dan Muharam manakala yang keempat adalah Rejab Mudar terletak antara Jamadilakhir dan Syaaban.” (Hadis al-Bukhari)

Menurut Syeikh Mustafa al-Bugha, perkataan Rejab disandarkan kepada ‘Mudar’ kerana ia merujuk kepada nama kabilah Arab yang sangat menjaga kemuliaan dan pengharaman Rejab berbanding bulan lain.

Imam Ibn Kathir menukilkan daripada Ibnu Abbas, setiap amal kebajikan dilakukan pada bulan ini lebih besar pahala berbanding bulan lain, begitu juga kemungkaran dilakukan akan mengundang dosa lebih besar berbanding bulan lain. (Tafsir Ibn Kathir)

Imam Ibnu Hajar al-Asqalani pula berkata, pengharaman (kemuliaan) bulan ini berlaku disebabkan perselisihan masyarakat Arab dalam penentuan waktu peperangan.

Apabila ingin menangguhkan peperangan, mereka akan mengharamkan bulan itu sebagai tanda penghormatan. (Fath al-Bari).

Rejab ialah bulan haram, iaitu bulan yang mulia dan suci. Selain itu, terdapat juga maksud lain bagi bulan Rejab iaitu kebesaran, rahmat, pemurah, kebajikan dan kerohanian. (al-Mu’jam al-Wasit)

Maksud yang dinyatakan ini menunjukkan kedudukan Rejab sebagai bulan yang mengandungi kelebihan besar bagi hamba Allah yang menghidupkannya dengan amal kebajikan seperti mendirikan solat sunat, berpuasa, membaca al-Quran, sedekah dan banyakkan zikir serta istighfar.

Sejarawan Islam mengatakan antara nama bulan Rejab ialah al-Shahr al-Haram, iaitu bulan yang haram kerana pengharaman peperangan padanya untuk memuliakan bulan berkenaan.

Rejab pilihan Allah SWT sebagai bulan penerimaan wahyu solat melalui peristiwa Israk dan Mikraj. Solat ibadat yang paling mulia daripada sekalian ibadat lain kerana ia satu-satunya perintah secara langsung daripada Allah SWT tanpa perantaraan Jibril AS seperti puasa, zakat, haji dan peperangan.

Allah SWT bertemu Rasulullah SAW secara langsung di Sidratul Muntaha seperti dinyatakan di dalam al-Quran (al-Najm, 13-18) sekali gus meletakkan ibadah solat di kedudukan paling tinggi. Oleh itu, Rejab sinonim dengan ibadat solat yang menjadi rukun Islam kedua.

Kesimpulannya, Rejab ada di sisi Allah SWT dan Rasul-Nya sebagai bulan yang haram.

Amal kebajikan dilakukan pada bulan ini digandakan pahala berbanding bulan lain dan amal kejahatan juga digandakan dosa berbanding bulan lain.

Namun, Rejab tidak mempunyai sebarang ibadat khusus disandar dengan nama Rejab, apatah lagi dikatakan sunah Rasulullah SAW.

Perbuatan mengkhususkan amalan tertentu sempena Rejab berdosa besar dan bercanggah dengan akidah Islam yang sebenar. Begitu juga sebarang hadis atau amalan sahabat mengenai mengkhususkan Rejab dengan amalan tertentu tidak benar.

Penulis pensyarah MSU

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker