Perbalahan berkait ambil alih PLUS punca PH pecah, kata laporan

Konflik dalam kalangan pemimpin Pakatan Harapan (PH) berkait rancangan Dr Mahathir Mohamad untuk menerima bidaan syarikat konglomerat Maju Holdings mengambil alih PLUS Malaysia Bhd disebut oleh Bloomberg sebagai salah satu sebab gabungan politik itu berpecah minggu lepas.

Laporan itu yang memetik sumber yang tidak dinamakan berkata, cadangan itu ditentang oleh DAP “berikutan rekod lampau Maju Group dan hubungan rapatnya dengan Mahathir”.

“Akhirnya kerajaan menolak semua bidaan ke atas PLUS dan menstruktur semula konsesi tersebut untuk mengurangkan kadar tol lebuh raya, bukan menghapuskannya,” kata laporan itu.

FMT bagaimanapun tidak dapat mengesahkan dakwaan tersebut secara berasingan.

Pada Januari, Putrajaya membuat keputusan untuk tidak menjual lebuh raya sepanjang lebih 800km yang dimiliki oleh PLUS, termasuk Lebuhraya Utara-Selatan, Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE), lebuh raya ELITE dan jambatan Pulau Pinang.

Sebaliknya Mahathir mengumumkan bahawa PLUS akan kekal dengan 2 pemiliknya, iaitu dana pelaburan kerajaan Khazanah Nasional yang menguasai 51% melalui UEM Group dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang memiliki 49% kepentingan, sementara kadar tol dikurangkan sebanyak 18% dengan jaminan tiada kenaikan untuk tempoh 30 tahun lagi.

Putrajaya sebelum itu berkata, ia akan mengkaji cadangan pengambilalihan PLUS sekiranya ia memenuhi keperluan negara dan memberi keuntungan kepada pengguna jalan raya dengan kadar tol lebih rendah.

Selain Maju Group yang membuat bidaan melalui Maju Holdings, 3 cadangan lain diterima daripada Widad Business Group, RRJ Capital dan tawaran usaha sama daripada taikun Halim Saad dan Wong Gian Kui.

Laporan Bloomberg mendakwa Maju “sangat yakin tawarannya akan diterima menyebabkan ia mula menghubungi bank bagi mendapatkan pembiayaan, hatta sebelum keputusan dibuat dalam mesyuarat Kabinet pada 9 Jan.”

Selepas kerajaan mengumumkan keputusannya, pengerusi eksekutif Maju Group Abu Sahid Mohamed menuduh Khazanah tidak memaklumkan keuptusan itu lebih awal kepada syarikatnya.

“Saya tidak tahu kenapa mereka tidak mahu jual. Mereka tidak beritahu saya kenapa mereka tidak mahu jual,” kata Abu Sahid kepada FMT.

Gabungan PH jatuh minggu lepas berikutan tindakan ahli Parlimennya keluar parti untuk menubuhkan satu gabungan baru dengan sokongan Umno, PAS dan GPS.

Berikutan kebuntuan selama seminggu, Yang di-Pertuan Agong semalam menerima Muhyiddin Yassin untuk mengangkat sumpah jawatan sebagai perdana menteri ke-8, berikutan kegagalan PH menentukan calon perdana menteri mereka secara muktamad.

Dalam pada itu, laporan Bloomberg itu juga mendakwa faktor lain yang memecahkan PH ialah rancangan pemulihan syarikat seperti Malaysia Airlines dan FGV Holdings.

Ia juga mendakwa pakej rangsangan sebanyak RM20 bilion yang diumumkan oleh Mahathir minggu lepas “diubah” daripada versi asal yang disediakan oleh menteri kewangan Lim Guan Eng.

FMT

Related Articles

Check Also
Close
Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker