Kes LTTE: Patuh arahan kerajaan atau letak jawatan peguam negara, Maszlee beritahu Tommy Thomas

Ahli Parlimen Simpang Renggam Maszlee Malik memberi kata dua kepada Peguam Negara Tommy Thomas berikutan tindakannya memberhentikan pertuduhan terhadap 12 individu dikaitkan dengan kumpulan militan, Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

Maszlee berkata, Tommy perlu memilih untuk kembali mematuhi dasar kerajaan persekutuan pimpinan Pakatan Harapan (PH) dan mengutamakan keselamatan negara dalam isu LTTE atau sebaliknya melepaskan jawatan sebagai peguam negara.

“Selagi mana ia tidak diubah menteri dalam negeri, maka ia kekal sebagai keputusan kerajaan yang bertanggungjawab untuk menjaga keselamatan negara melalui agensi serta badan kerajaan seperti polis.

“Keputusan peguam negara untuk menarik balik pertuduhan ke atas 12 individu yang dituduh di mahkamah adalah disandarkan kepada keputusan kerajaan Australia dan Sri Lanka,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Mohd Yassin berkata, kumpulan militan LTTE masih dikategorikan sebagai kumpulan pengganas dan kerajaan tidak berhasrat untuk mengugurkan kedudukan kumpulan itu.

Muhyiddin berkata, Tommy tidak mempunyai kuasa di bawah undang-undang untuk mencampuri urusan dan bidang kuasa menteri dalam negeri.

Thomas semalam, memutuskan tiada prospek yang jelas untuk sabitan terhadap mana-mana 12 tertuduh dalam mana-mana 34 pertuduhan terhadap mereka dan bertindak memberhentikan prosiding terhadap kesemua tertuduh berkuat kuasa serta-merta.

Maszlee berkata, kegagalan peguam negara mengambil kira dasar kerajaan sebelum membuat keputusan bukan sahaja salah, tetapi bertentangan dengan peranannya selaku penasihat undang-undang utama kerajaan Persekutuan.

“Keselamatan negara adalah tanggungjawab kerajaan melalui Kementerian Dalam Negeri. Dalam menjalankan tugas sebagai pendakwa raya, Tommy tidak boleh sama sekali membelakangi dasar kerajaan,” katanya.

12 tertuduh itu ialah ahli DAP, V Suresh Kumar, 44; ahli perniagaan, B Subramaniam, 58; penjaga stor, S Thanagaraj, 27; Saminathan, 35; Gunasekaren, 61; Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Teknologi Hijau di Melaka, S Chandru, 39; juruteknik, S Arivainthan, 28; pengawal keselamatan, M Pumugan, 30; guru sekolah menengah di Telok Panglima Garang, Selangor, Sundram Renggan @ Rengasamy, 53; pemandu teksi V Balamurugan, 38; pengutip besi buruk A Kalaimughilan, 29; dan penghantar surat S Teeran, 39.

Semua mereka ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) dan ditempatkan di Penjara Sungai Buloh sementara menunggu perbicaraan.

Di bawah Sosma mereka tidak dibenar diikat jamin.

Mereka antaranya menghadapi pertuduhan memberi sokongan kepada LTTE dalam suatu majlis, memberi sokongan kepada kumpulan itu dalam media sosial dan pertuduhan memiliki, mengedar dan memaparkan bahan-bahan berkaitan LTTE.

FMT

Related Articles

One Comment

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker