Zikir penenang jiwa

oleh Prof Madya Dr Nurkhamimi Zainuddin

DI Malaysia, isu kesihatan mental agak membimbangkan.

Kajian Kementerian Kesihatan tahun 2015 mendapati secara amnya masalah mental bakal menjadi masalah kesihatan kedua terbesar di Malaysia selepas masalah jantung menjelang 2020.

Kajian itu juga menunjukkan, kira-kira 4.2 juta rakyat Malaysia yang berusia 16 tahun ke atas berhadapan dengan penyakit mental.

Ini bermakna, daripada tiga orang yang kita temui, seorang daripadanya berkemungkinan mempunyai masalah mental.

Menurut pakar, kesihatan mental meliputi elemen emosi, akal dan tingkah laku.

Ia merangkumi kesihatan biologi, psikologi, sosial dan spiritual.

Selain pengaruh genetik dan personaliti, kesihatan mental turut dipengaruhi faktor lain seperti pengambilan dadah, arak, tekanan hidup serta persekitaran keluarga, tempat kerja dan rakan.

Antara masalah mental kerap berlaku dalam masyarakat ialah kemurungan, keresahan dan kecelaruan.

Kemuncak kepada masalah ini ialah dorongan membunuh diri.

Masalah ini bukan saja membabitkan golongan dewasa dan juga kanak-kanak.

Menurut WHO, dianggarkan 20 peratus kanak-kanak di seluruh dunia mengalami masalah kesihatan mental yang kebanyakannya tidak berjaya dikesan pada peringkat awal serta tidak menerima rawatan.

Ini membawa kepada kerugian yang besar kepada individu, masyarakat dan negara.

Penulis berasakan bahawa semua masyarakat harus memainkan peranan mewujudkan kesejahteraan mental dalam diri dan keluarga masing-masing.

Islam mementingkan ketenangan jiwa. Tiada cara terbaik untuk mendapatkannya, melainkan mengajar diri sendiri dan anak sentiasa berzikir mengingati Allah SWT dengan cara yang betul.

Dirikanlah solat, berzikir selepasnya dan jangan tinggalkan bacaan al-Quran serta wirid harian.

Firman Allah SWT bermaksud: “(Iaitu) orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah. Ketahuilah dengan zikrullah itu, tenang tenteramlah hati manusia.” Surah al-Ra’d (ayat 28)

Marilah kita sentiasa berpesan, sesungguhnya dunia ini bukan matlamat akhir kita.

Kejayaan dunia tidak bermakna sekiranya kita mengabaikan akhirat. Mengejar dunia akan melahirkan manusia yang mementingkan kesempurnaan tanpa nilai.

Ajarlah anak dan rakan taulan supaya sentiasa bermunajat dan mengadu kepada Allah SWT semasa senang dan susah dan sama sekali tidak alpa dan kecewa dengan rahmat-Nya yang luas.

Firman Allah SWT dalam surah al-Zumar ayat 53 bermaksud: “Katakanlah (wahai Muhammad): Wahai hambaKu yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dia-lah juga Yang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.”

Penulis ingin mengajak pembaca mewujudkan persekitaran sejahtera, baik dalam rumah, kejiranan, sekolah, universiti dan tempat kerja.

Pelajar perlu dibimbing agar bijak mengurus tekanan dalam proses pembelajaran.

Elakkan tekanan dalam jiwa mereka seperti mengharapkan keputusan akademik yang cemerlang semata-mata, sedangkan banyak lagi potensi diri yang boleh dikembangkan.

Di pejabat, persekitaran tempat kerja perlu perhatian sewajarnya. Majikan dan pekerja perlu mengelakkan ketegangan dan kebencian.

Amalkan budaya saling menghormati, menyantuni dan memaafkan. Buanglah sifat panas baran dan suka mengarah tanpa belas ihsan.

Sekiranya kita mendapati ada rakan yang menunjukkan tanda kemurungan seperti berubah sikap, menyendiri, perubahan tabiat pemakanan dan penampilan. Santunilah mereka, ajaklah mereka mengingati Allah SWT dan sekiranya perlu, rujuklah kepada pakar kesihatan mental yang sedia membantu.

Penulis adalah Dekan Fakulti Pengajian Bahasa Utama Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker