Azmin beritahu dia yang bawa pimpinan PAS jumpa Mahathir, kata Ezam

Share

Bekas setiausaha politik Anwar Ibrahim, Ezam Mohd Nor hari ini membuat pendedahan terbuka bahawa Mohamed Azmin Ali yang menjadi orang tengah membawa pemimpin kanan PAS bertemu Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Ezam turut mendakwa, bukan sahaja pertemuan itu dan pertemuan dengan pimpinan pembangkang lain diatur oleh timbalan presiden PKR itu, bahkan banyak lagi gerakan yang dilakukannya bagi menghalang presiden parti, Anwar Ibrahim menjadi perdana menteri.

“Saya ke Shah Alam 2-3 hari lepas, Azmin bawa Dr Samsuri (Mokhtar) menteri besar Terengganu jumpa dengan Dr Mahathir sekali atau 2 kali.

“…orang tanya saya mana awak tahu. Hari ini saya beritahu, saya tahu sebab Azmin bagi tahu saya, malah Azmin bagi tahu saya lebih banyak daripada itu, tapi saya simpan dulu,” katanya ketika berucap pada program Kupasan Politik Semasa anjuran Gerakan Reformasi Perform di sini, hari ini.

Semalam Ezam berkata, seorang “pemimpian kanan” PKR menjadi orang tengah dalam pertemuan pemimpin PAS dengan Mahathir di London.

Beliau juga mendakwa Azmin merupakan individu yang memulakan langkah untuk merosakkan proses peralihan kuasa antara Mahathir dengan Anwar.

Dalam perkembangan sama Ezam turut mendakwa gerakan Kongres Maruah Melayu juga merupakan satu percubaan untuk menghalang Anwar daripada menjadi perdana menteri.

Program itu katanya, yang dihadiri Azmin turut dihadiri Mahathir dan pemimpin pembangkang , lain termasuk Umno dan PAS.

“Dia mula main dengan Kongres Maruah Melayu. Main dengan isu agama, isu kaum. Sebagai perdana menteri dia (Mahathir) luluskan, angkat tangan sebelah kanan Hadi, belah kiri Annuar Musa, tapi ,Anwar Ibrahim tak dijemput. Apakah Anwar bukan Melayu?

“Bab cerita Melayu, panggillah Anwar, tapi tak panggil. Anwar tetap tak gelabah, dia tak berganjak. Malah dia sebut, saya tidak akan berganjak daripada perjuangan reformasi dan tidak akan tunduk kepada permainan politik kaum sempit yang akan mengalihkan fokus kita untuk melakukan reformasi melawan kelompok elit, rasuah dan menyeleweng,” katanya.

Sebelum ini sebuah portal berita berbahasa Inggeris melaporkan 138 ahli Parlimen (MP) telah menandatangani akuan berkanun (SD) bagi menyokong Mahathir kekal sebagai perdana menteri sehingga tamat penggal pentadbiran kerajaan semasa.

Portal itu melaporkan antaranya ia melibatkan 18 MP PAS, 26 MP PKR, sekurang-kurangnya 13 daripada 39 MP Umno dan 26 MP PPBM

PAS sebelum ini berkata, parti itu akan membawa usul percaya terhadap kepimpinan Mahathir sebagai perdana menteri pada persidangan Parlimen yang akan disambung semula pada 9 Mac ini.

Timbalan presiden parti itu, Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, langkah itu adalah bagi menamatkan terus pertikaian sama ada Mahathir mendapat kepercayaan ahli Dewan Rakyat atau sebaliknya.

FMT

Leave a Reply