Pakatan Nasional : Guan Eng ejen penyebar berita palsu?

Pakatan Nasional hanya wujud di kayangan – Subky Latif

Pakatan Nasional yang dikaitkan dengan pembentukan kerajaan campuran membabitkan Bersatu, Umno dan PAS hanya wujud di kayangan, kata pemimpin veteran PAS, Subky Latif.

Pengerusi Assabiqun PAS itu berkata, serangan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng terhadap spekulasi itu seolah-olah pemimpin DAP itu mempercayai berita palsu.

“Kalau wujud (Pakatan Nasional) hanya di ‘kayangan’ PAS dan Umno tak pernah fikir Pakatan Nasional.

“Apa yang PAS dan Umno dagangkan sekarang adalah Muafakat Nasional.

“Lim kalau percaya berita itu, beliau merupakan ejen penyeberan berita palsu atau percaya kepada berita palsu,” katanya kepada media di Kuala Lumpur, hari ini.

Subky berkata demikian selepas mengadakan mesyuarat bersama Veteran Umno. Hadir sama Pengerusi Veteran Umno, Othman Desa.

Spekulasi berhubung Pakatan Nasional ataupun kerjasama bagi membentuk kerajaan campuran itu didedahkan bekas Anggota Majlis Tertinggi Umno Lokman Noor Adam 3 Feb lalu.

Lokman mengkritik Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi sebagai lemah kerana ingin bekerjasama dengan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Dalam rakaman video yang ditularkan kepada media, Lokman turut mengepilkan ucapan Zahid.

Beliau mendedahkan, perkara itu dimaklumkan Zahid ketika mesyuarat jawatankuasa perhimpunan Muafakat Nasional dengan memberikan empat sebab kena kerjasama itu perlu diadakan.

Pada 7 Feb lalu, Majlis Tertinggi Umno memecat Lokman kerana kritikannya terhadap pucuk pimpinan parti.

Dalam pada itu Subky ketika ditanya mengenai cadangan PAS untuk membawa usul menyokong perdana menteri terus kekal sehingga akhir penggal ini.

Jelasnya, ia bukanlah sesuatu yang luar biasa kerana parti itu pernah bermusuhan dengan Umno dan kini boleh bekerjasama.

“PAS pernah baca surah Yaasin dua kali kepada Mahathir, sekarang ini PAS menyokong Mahathir untuk kekal. 70 tahun PAS tentang Mahathir tiba-tiba sokong Mahathir.

“PAS usul undi percaya kepada Mahathir (kekal menjadi Perdana Menteri) sehingga PRU-15, selepas PRU-15 ada orang lain jadi Perdana Menteri,” katanya lagi.

Sementara itu, Othman pula menyifatkan Lim mengalami ‘Islamfobia’ apabila menyifatkan gabungan Umno dan PAS bahaya kepada negara.

Mkini

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker