Pintu belakang atau berperlembagaan

Share


Oleh AB JALIL BACKER

PEMBENTUKAN ‘kerajaan pintu belakang’ merupakan polemik yang sudah berlarutan selama hampir dua tahun. Boleh dikatakan ia hampir sama usia dengan kerajaan pimpinan Pakatan Harapan (PH).Istilah kerajaan pintu belakang sebenar adalah apabila pentadbiran kerajaan dibentuk melalui pengisytiharan darurat, rampasan kuasa tentera atau secara kekerasan; bukannya seperti polemik sekarang yang merujuk kepada pembentukan satu pemerintahan eksekutif yang baharu dengan membawa masuk wakil rakyat daripada parti pembangkang ke dalam kerajaan.

Berbeza dengan tanggapan umum, pembentukan pemerintahan eksekutif negara ini tidak ditentukan oleh keputusan pilihan raya umum (PRU) secara bersendirian. Malah, boleh dikatakan parti yang memenangi PRU bukan jaminan dapat membentuk cabang eksekutif atau pemerintahan politik negara.Ini kerana Perlembagaan negara memperuntukkan satu cara demokratik dan pembentukan pentadbiran eksekutif iaitu melalui Perkara 43(1) dan (2) yang memberi kuasa kepada Yang di-Pertuan Agong melantik seorang daripada ahli Dewan Rakyat yang pada hemat Seri Paduka Baginda mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat.Selalunya YDP Agong mengambil kira parti yang mendapat majoriti mudah dalam PRU sebagai ukuran menentukan pelantikan Perdana Menteri.

Namun, ia bukan satu arahan dalam Perlembagaan, ia hanya kaedah yang memudahkan Seri Paduka Baginda membuat keputusan.Jika ada ahli Dewan Rakyat lain, bukan daripada parti yang menang, membuktikan beliau mendapat sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat, maka tugas YDP Agong adalah untuk melantik individu tersebut menjadi Perdana Menteri walaupun bukan daripada parti yang menang majoriti dalam PRU.Dengan kata lain, hak menentukan kumpulan yang akan menjadi pemerintah politik negara terletak di tangan ahli-ahli Dewan Rakyat. Hak ini pula terhad kepada pelantikan Perdana Menteri sahaja.

Ia telah berlaku beberapa kali di peringkat negeri, termasuk kali terakhir di Sabah dua tahun lalu. Dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Barisan Nasional (BN) menang majoriti mudah bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, namun Datuk Seri Shafie Apdal dilantik sebagai Ketua Menteri setelah beliau membuktikan kepada Yang di-Pertua Negeri Sabah mempunyai sokongan majoriti ahli DUN.Kuasa

Seterusnya pembentukan keseluruhan pemerintahan eksekutif negara terletak pada tangan Perdana Menteri yang dilantik atas perkenan YDP Agong. Selagi Perdana Menteri tidak hilang kepercayaan ahli Dewan Rakyat, beliau berhak melantik mana-mana ahli Parlimen tanpa mengira parti untuk menjadi anggota pentadbiran beliau.Sudah tentu seorang Perdana Menteri perlu menggunakan kuasa lantikan itu secara berhemah agar beliau tidak hilang kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat.

Dalam konteks itulah peranan parti terbesar membolehkan beliau terus kekal menjadi Perdana Menteri. Namun, ia bukan satu kemestian apabila melihat ketidakstabilan dan perpecahan kem dalam parti-parti komponen PH.Justeru, tidak timbul sebarang pembentukan eksekutif membabitkan parti di luar PH sebagai kerajaan pintu belakang jika Tun Dr Mahathir Mohamad melantik anggota pentadbiran baharu termasuk daripada kalangan Pas, UMNO dan GPS Sarawak.

Ia adalah hak mutlak beliau yang ditentukan oleh Perlembagaan selagi mana beliau mendapat sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat.

Istilah kerajaan pintu belakang digunakan oleh mereka yang berasa terancam dengan usaha Dr Mahathir untuk merombak Kabinet, mengukuhkan kedudukan dan kekal menjadi Perdana Menteri sehingga tamat penggal ini.Dengan penularan gejala gay dalam negara majoriti Muslim seperti Malaysia, label pintu belakang itu berjaya menimbulkan persepsi negatif kepada rakyat.Realitinya, jika berlaku perubahan cabang eksekutif, ia adalah cara demokrasi lurus yang tidak perlu dipertikaikan.

Sinar



Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *