Syed Saddiq gagal memimpin, kata exco Pemuda PPBM

Share

Exco Pemuda PPBM, Mohd Muzzammil Ismail mengumumkan akan bertanding jawatan ketua Pemuda PPBM pada pemilihan parti akan datang.

Muzzammil, 30, berkata salah satu sebab beliau ingin bertanding kerana melihat kepimpinan Pemuda PPBM di bawah Syed Saddiq Syed Abdul Rahman telah gagal.

“Bukan gagal sahaja, malah tidak dapat menarik sokongan atau dokongan daripada Pemuda sendiri.

“Sebagai contoh rentetan pilihan raya kecil (PRK) Tanjung Piai, kita kalah di saluran anak muda di semua cawangan kecuali 1 cawangan. Ini bermakna anak muda sudah menolak kepimpinan Pemuda PPBM secara ‘total’. Ini kita risaukan,” katanya pada sidang media selepas mengumumkan akan bertanding mencabar Syed Saddiq.

Pada 26 Jan lalu, Penerbit filem yang juga ahli perniagaan Razalif Mohd Zain mengumumkan akan bertanding jawatan ketua Pemuda PPBM pada pemilihan PPBM.

Razalif, 30, yang kini merupakan ketua Pemuda cawangan Seaview Park berkata beliau berhasrat untuk bertanding jawatan itu bagi memperbaharui lagi barisan Pemuda.

Sebelum ini Syed Saddiq yang juga menteri Belia dan Sukan dan ahli Parlimen Muar Johor mengumumkan akan mempertahankan jawatannya pada pemilihan parti itu.

Mengulas lanjut, Muzzammil berkata kepimpinan Pemuda PPBM masa ini gagal menyatupadukan sayap Pemuda dalam parti komponen Pakatan Harapan (PH) seperti Dapsy, Amanah dan PKR.

Beliau berkata sekiranya kepincangan itu tidak ada perubahan dan ketua Pemuda PPBM tidak ditukar, maka seluruh barisan komponen PH akan lumpuh.

“Terutama sekali dalam sayap Pemuda. Kita lihat kepimpinan diubah, hala tuju perlu lebih jelas untuk pembawakan roh Melayu dan Islam.

“Hari ini Pemuda PPBM begitu daif, di mana kita tawarkan idea untuk mengangkat semula maruah atau martabat dalam membantu sosio ekonomi jadi pemimpin. Tak ada peruntukan dan bantuan (kepada ahli) dan boleh dikatakan ‘ekonomi perut’,” katanya.

Muzzammil berkata gelombang kebangkitan Pemuda PPBM juga dilihat kuat menolak sayap itu.

“Mereka tidak puas hati dengan kepimpinan Pemuda PPBM. Saya tidak mampu jumpa setiap cawangan Pemuda PPBM tetapi gelombang penolakan wujud,” katanya.

Seorang lagi exco Pemuda PPBM, Abu Hafiz Salleh Hudin menawarkan diri untuk bertanding merebut jawatan naib ketua Pemuda PPBM pada pemilihan parti itu nanti.

Beliau berkata alasan untuk bertanding adalah kerana akar umbi sendiri yang mahu mereka bertanding.

“Ini satu permintaan dan desakan akar umbi mahu kami bertanding. Ini ‘signal’ dari akar umbi.

“Ini sebagai satu manifestasi perubahan dalam Pemuda PPBM,” katanya.

FMT

Leave a Reply