Dua beranak warga Malaysia yang dibawa pulang dari Wuhan positif koronavirus

Share

Dua lagi rakyat Malaysia disahkan positif novel koronavirus (2019-nCoV), kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Menurut beliau, kedua-dua mereka terdiri daripada seorang lelaki berusia 45 tahun dan anak lelakinya, berusia 9 tahun.

Kedua-dua pesakit adalah antara 105 individu yang dibawa pulang ke tanahair dari Wuhan, China pada 4 Februari lalu.

Ia menjadikan keseluruhan kes positif Novel Koronavirus di Malaysia sebanyak 12 kes melibatkan tiga rakyat Malaysia dan sembilan warga China.

Dr Dzulkefly berkata, dua beranak itu kini sedang dirawat di wad pengasingan Hospital Tuanku Ja’far, Seremban dan berada dalam keadaan baik.

Manakala, lebih 100 individu lain yang disahkan negatif koronavirus, kata beliau, kini sedang berada dalam pemantauan selama 14 hari.

“Sehubungan itu, dari 10 Januari 2020 sehingga 5 Februari 2020 jam 10 pagi, jumlah kumulatif kes PUI (pengesanan kes yang disyaki) jangkitan 2019-nCoV adalah 257 orang, di mana 161 adalah warganegara Malaysia, 91 warga China dan masing-masing satu warganegara Australia, Korea, Jordan, Brazil dan Thailand.

“Lima kes telah disahkan positif 2019-nCoV , 235 negatif, dan 17 kes masih menunggu keputusan makmal,” katanya dalam sidang media di kementeriannya di sini pada Rabu.

Awani

Leave a Reply