Dr M pertahan sains, matematik dalam bahasa Inggeris

Share

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mempertahankan cadangan mengajar dan belajar sains dan matematik dalam bahasa Inggeris kepada warga Kementerian Pendidikan hari ini, mengatakan kebanyakan persidangan sains antarabangsa menggunakan bahasa itu.

Beliau, yang memangku portfolio pendidikan selepas peletakan jawatan Maszlee Malik awal bulan lepas berkata pakar sains Malaysia tidak mungkin faham perbincangan yang diadakan pada persidangan seperti itu jika tidak fasih berbahasa Inggeris.

“Di Malaysia terdapat 3 kaum dengan mengguna bahasa mereka untuk mengajar. Jika bahasa kebangsaan diguna untuk mengajar sains dan matematik dalam sekolah kebangsaan, maka sekolah Cina akan guna bahasa Mandarin dan India guna bahasa Tamil.

“Dalam bidang sains ahlinya perlu berbincang sesama mereka masalah sains yang ditemui. Mungkinkah mereka yang berbahasa kebangsaan, Mandarin dan Tamil berbincang sesama mereka?” katanya ketika berucap di majlis bersama warga kementerian di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Beliau menambah bahasa yang kerap digunakan dalam industri juga bahasa Inggeris. “Tentulah sukar bagi mereka yang tidak faham sains dalam bahasa Inggeris memahami arahan yang diberi.”

Mahathir pada 31 Jan lalu mengumumkan bahasa Inggeris akan digunakan semula untuk pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran Sains dan Matematik di sekolah.

Kerajaan memperkenalkan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) pada 2003. Dasar itu dihentikan pada 2012.

Sementara itu, pada sidang media selepas majlis hari ini, Mahathir berkata kerajaan masih menimbang dan belum memutuskan untuk melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

Beliau berkata buat masa ini satu jawatankuasa kecil akan ditubuhkan untuk melihat perkara itu.

“Kita akan bincang dalam Kabinet dalam masa tedekat,” katanya.

FMT

Leave a Reply