Hikmah Rasulullah usir mak nyah

oleh Dr Ahmad Sanusi Azmi

ADA kalangan kita yang tertanya-tanya, mengapa Rasulullah SAW mengusir seorang mukhannas (lelaki berperwatakan wanita atau mak nyah) seperti yang pernah direkodkan di dalam hadis.

Apakah Rasulullah SAW tidak bersikap rahmatan lil alamin? Adakah Rasulullah SAW tidak mengamalkan toleransi dengan individu seperti ini? Sebelum meneliti persoalan mengenai perkara ini, mari kita perhatikan beberapa hadis berhubung perkara ini.

Menurut riwayat Abu Daud, mukhannas ini dikatakan datang ke rumah isteri Rasulullah SAW kerana meminta makanan daripada mereka. Perkara ini direkodkan melalui penjelasan yang dinyatakan al-Imam al-Auza’i. Bahkan dalam dialog itu ada dalam kalangan isteri Rasulullah menyatakan bermaksud: “Wahai Rasulullah, sekiranya engkau usir dia sesungguhnya dia akan mati kelaparan.” (Hadis Riwayat Abu Daud).

Jelas menerusi riwayat ini, mukhannas yang datang ke rumah isteri Rasulullah SAW ini adalah kerana keperluan hidupnya. Sekiranya dia tidak datang, barangkali ia akan menyebabkan mudarat buat dirinya. Dia bukanlah datang bersahaja untuk bersembang dengan isteri Rasulullah SAW semata-mata.

Mengapa arahan mengusir mak nyah dikeluarkan?

Punca pengusiran ini bermula apabila Rasulullah SAW mendengar dialog perbualan di antara isteri Rasulullah SAW dengan mak nyah ini.

Berdasarkan hadis diriwayatkan, al-Imam al-Bukhari ada merekodkan bagaimana seorang mukhannas (lelaki berperwatakan wanita) dikatakan biasa datang dan duduk di rumah Ummu Salamah, isteri Rasulullah SAW.

Mukhannas ini dikatakan mendedahkan rahsia perihal susuk tubuh wanita Taif kepada Abdullah ibn Abi Umayyah (saudara kepada Ummu Salamah). Beliau menceritakan perihal wanita Taif (anak-anak perempuan Ghaylan) yang mempunyai tubuh yang gebu.

Mendengar perbualan ini Rasulullah SAW lantas mengeluarkan arahan melarang mukhannas ini daripada duduk bersama Muslimah.

Ini kerana mukhannas itu akan mengetahui aurat dan sosok tubuh Muslimah sehingga boleh mendedahkannya kepada orang awam. Dengan itu Rasulullah SAW menegaskan bermaksud: “(Wahai para wanita) Jangan biarkan mereka ini (mukhannas) masuk bersama dengan kamu (para wanita)!”

Meneliti hadis ini al-Imam al-Syawkani memberikan beberapa rasional mengapa Rasulullah SAW mengusir mukhannas ini iaitu terdapat dua sebab utama iaitu pertama, pada asalnya sahabat menyangkakan mak nyah yang masuk ke rumah isteri Rasulullah SAW itu adalah golongan tidak bernafsu terhadap wanita.

Namun selepas mendengar perbualannya mengenai perempuan Taif (anak-anak Ghaylan), sudah nyata, mak nyah ini dilihat mempunyai nafsu atau tahu kehendak nafsu lelaki terhadap wanita, maka Rasulullah SAW mengusirnya.

Sekiranya ada dalam kalangan mak nyah yang masuk ke tandas wanita pada hari ini atau solat di tempat wanita, bagaimana kita boleh pastikan mereka tidak mendedahkan aurat Muslimah yang lain?

Keduanya, mukhannas tadi menceritakan sifat kecantikan wanita serta aurat mereka ketika ada orang lelaki bersama mereka.

Ini satu kebimbangan besar. Mak nyah yang duduk bersama Muslimah boleh mengetahui aurat mereka dan mendedahkannya kepada orang lain. Bahkan pada hari ini boleh ambil gambar atau video. Atas dasar itu, Rasulullah SAW mengusirnya dari bersama dengan Muslimah.

Adakah Rasulullah SAW tidak bertoleransi?

Barangkali ada bertanya, mengapa Rasulullah SAW mengenakan tindakan tegas sebegini? Apakah Rasulullah SAW tidak bersikap toleransi dan rahmah? Perlu difahami dalam perkara membabitkan penjagaan maruah dan pencegahan kemungkaran, maka Rasulullah SAW bersikap tegas.

Menurut al-Qardawi, tindakan tegas yang dikenakan oleh syariat Islam dalam perkara membabitkan isu LGBT adalah bagi membersihkan masyarakat daripada budaya tidak sihat.

Membiasakan atau normalisasi masyarakat untuk menerima perlakuan dilarang agama akan menyebabkan masyarakat tidak sensitif dengan perkara mungkar.

Seorang Mukmin tidak seharusnya mengucapkan: “Biarkanlah dia, itu dosa dia dengan Allah” atau “alah, kubur masing-masing.” Ungkapan ini tidak lain hanya menggambarkan kita tidak peka atau sensitif dengan dosa dan larangan Allah.

Sebuah hadis yang lain, Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Sesungguhnya orang mukmin melihat dosa-dosanya seperti dia duduk di bawah gunung dan dia takut sekiranya gunung itu akan menimpanya, sedangkan orang fajir (selalu melakukan dosa) melihat dosa-dosanya seperti lalat yang hinggap di batang hidungnya, kemudian dia mengusirnya lalu ia terbang.” (Hadis Riwayat al-Bukhari).

Jelas melalui penjelasan di atas, bahawa Rasulullah SAW amat menjaga perihal membabitkan penjagaan maruah seorang Muslim.

Rasulullah SAW akan bersikap tegas dalam mengawal kemungkaran daripada segenap aspek. Sikap tegas ini tidak lain untuk memastikan masyarakat Muslim dibangunkan dengan persekitaran yang soleh dan baik, bagi kejayaan di dunia dan akhirat.

Penulis adalah Timbalan Pengarah, Institut Sains Islam, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker