Umno dan PAS dah jadi ‘sekali’ – Mohd Amar

Selepas termeterainya Muafakat Nasional, Naib Presiden PAS, Mohd Amar Abdullah, melihat Umno kini sebagai sebuah parti yang sudah “sekali” dengan PAS dalam aspek perjuangannya.

Kenyataan itu dibuat di sebalik terlakarnya sejarah panjang permusuhan di antara kedua-dua parti terbabit.

Menurut Mohd Amar, kesanggupan Umno meminda perlembagaan parti untuk meletakkan Islam, diikuti bangsa dan negara sebagai asas dan tujuan perjuangannya.

“Jadi kita (PAS) dengan Umno ini, jadi sekali dah dari segi perjuangannya, dan kita harap insya-Allah dasar ini boleh kita kukuhkan pada masa akan datang.

“Dan apabila bercakap mengenai Islam, kita bukan nak gaduh dengan orang lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Ceramah Muafakat Nasional Wilayah Persekutuan di Bandar Tun Razak, beberapa hari lalu namun dimuat naik di portal harakahdaily hari ini.

PAS dan Umno memeterai Muafakat Nasional pada 14 Sept tahun lalu sebagai menandakan kerjasama rasmi di antara mereka setelah beberapa saling membantu dalam beberapa pilihan raya kecil selepas PRU ke-14.

Mampu perintah Selangor

Pada Perhimpunan Agung Umno Dis 2019 juga Umno meminda fasal 3 perlembagaan partinya yang asalnya berbunyi: “Umno adalah sebuah parti politik yang berjuang mendukung cita-cita kebangsaan Melayu demi mengekalkan maruah dan martabat bangsa, agama dan negara” menjadi “Islam, bangsa dan negara”.

Mengulas lanjut, kata Mohd Amar, setelah PAS berpakat dengan Umno, DAP menuduh mereka akan berlaku zalim terhadap orang bukan Islam bagi menakut-nakutkan golongan itu terhadap dua parti Melayu tersebut.

“Inilah antara faktor DAP boleh menang pilihan raya,” ujarnya.

Tambah timbalan menteri besar Kelantan itu, gabungan Umno dan PAS akan memberi buat kedua-dua parti, lebih-lebih lagi apabila mereka mempunyai pengalaman menjadi kerajaan, dengan Umno bersama BN di peringkat pusat, manakala PAS di Kelantan.

Mengambil contoh pentadbiran PAS di Kelantan, Mohd Amar memberi gambaran bahawa dasar Islam seperti diamalkan PAS sebenarnya turut boleh diguna pakai di peringkat negara.

Katanya, jika dahulu Islam dianggap boleh dijadikan dasar negara dalam negara moden dan majmuk seperti Malaysia, PAS telah membuktikan sebaliknya sepanjang tempoh 30 tahun memerintah Kelantan.

Malah kata Mohd Amar, ia diterima baik oleh masyarakat termasuk yang bukan Islam.

Katanya lagi, jika dahulu, ulama dianggap tidak boleh menjadi menteri besar kerana dianggap hanya pandai mengajar agama dan bercakap soal fikah saja di masjid-masjid, PAS sekali lagi membuktikan sebaliknya apabila Allahyarham Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai menteri besar pada 1990.

“Kita buktikan ulama mampu jadi ketua negara dan pengganti Tok Guru Nik Aziz hari ini pun seorang ulamak lulusan Universiti al-Azhar.

“Semua ini boleh menjawab keraguan dan tuduhan kepada ulama,” tambahnya lagi.

Bahkan, Mohd Amar turut meluahkan keyakinan dasar Islam dan gabungan pengalaman PAS dan Umno, mampu membuatkan mereka memerintah dengan lebih baik di negeri yang diperintah PH, contohnya di Selangor, yang menurutnya, “mempunyai segala kemudahan”.

Mkini

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker