Manusia dihimpun tidak berpakaian

NABI Muhammad SAW pernah bersabda yang bermaksud: “Wahai sekalian manusia, sesungguhnya kalian akan dikumpulkan menuju Allah SWT dalam keadaan tidak memakai kasut, bertelanjang dan tidak berkhatan.

“Sebagaimana kami sudah memulakan penciptaan pertama, begitulah Kami akan mengulanginya. Itulah suatu janji yang pasti Kami tepati. Sesungguhnya Kamilah yang akan melaksanakannya. (Surah al-Anbiya: ayat 104).

“Ketahuilah sesungguhnya makhluk pertama yang diberi pakaian pada hari Kiamat ialah Ibrahim AS. Ketahuilah sesungguhnya beberapa orang daripada umatku akan didatangkan lalu mereka diambil menjadi golongan kiri, aku berkata, ‘Wahai Rabb, sahabat-sahabatku.’

“Dikatakan, ‘sesungguhnya engkau tidak tahu apa yang mereka lakukan sejak peninggalanmu? ‘Lalu aku mengucapkan seperti perkataan seorang hamba soleh, ‘Aku menjadi saksi ke atas mereka selagi aku bersama mereka namun tatkala Engkau wafatkan aku, Engkaulah yang mengawasi mereka dan Engkaulah Maha Menyaksikan terhadap segala sesuatu’.” (Surah al-Maidah: ayat 117).

“Lalu dijawab, Mereka sentiasa kembali ke belakang (murtad) sejak engkau tinggalkan mereka.” (Hadis Riwayat al-Bukhari: No. 4625).

Begitulah penerangan Rasulullah SAW berkenaan perihal manusia tatkala dibangkitkan di Padang Mahsyar iaitu dihimpunkan dalam keadaan bogel dan pada waktu itu, semua orang akan disibukkan dengan dosa masing-masing sehingga tidak menghiraukan siapa di kiri dan kanan mereka.

Minggu lalu, penulis menerangkan perihal tiga golongan manusia di Mahsyar menerusi buku ‘40 Hadis huru hara Kiamat’ karangan Zulkarnain Dollah dan Asyraff Hafdzan Abdullah yang diterbitkan oleh Telaga Biru.

Apa yang dapat diambil pengajaran daripada hadis ini adalah setiap manusia akan dihimpunkan dalam keadaan asal mereka iaitu tanpa pakaian, alas kaki dan berkhatan.

Allah SWT berkuasa mengembalikan ciptaan-Nya yang sudah berubah bentuk atau hancur lebur seperti kekuasaan-Nya mencipta pada kali pertama. Menciptakan semula ialah sesuatu yang mudah bagi Allah SWT.

Rasulullah SAW akan mengenali umatnya berdasarkan cahaya yang terhasil daripada kesan pengambilan wuduk. Cahaya itu akan kelihatan pada anggota badan umat Baginda yang biasa mengambil wuduk.

Namun, ada sebahagian umat Baginda SAW yang akan diheret oleh malaikat ke neraka meskipun mempunyai cahaya kesan wuduk kerana mereka berpaling daripada kebenaran yang dibawa oleh rasul.

Related Articles

Check Also
Close
Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker