Kehidupan Berorganisasi Politik – UMNO Sebuah Perjuangan

 

1. Kita menyertai organisasi politik kerana percaya jalur perjuangan dan mahu menjayakan agenda perjuangan kita. Apabila kita menyertai UMNO kita telah meletakkan kepentingan agama Islam, Melayu dan bumiputera sebagai keutamaan.

2. Dalam organisasi politik kita mempunyai struktur kepimpinan kerana menguruskan parti politik bukan seperti bersembang di kedai kopi.

3. Kita ada Presiden, Timbalan Presiden, Naib Presiden, Majlis Tertinggi dan kepimpinan bahagian serta cawangan yang semua melalui proses demokrasi.

4. Apa tujuan semua jawatan ini? Mereka dilantik untuk mengurus dan menentukan hala tuju parti sesuai dengan matlamat dan kehendak penubuhan dan kedudukan mereka.

5 Adalah tidak masuk akal untuk Presiden kena meminta kebenaran ahli setiap kali mahu mengadakan perjumpaan dengan sesiapa atau merundingkan apa-apa perkara.

 

6. Presiden mempunyai hak untuk melaksanakan tugasnya dalam ruang lingkup yang dibenarkan oleh Perlembagaan parti. Ini bukan hak DS Ahmad Zahid Hamidi sahaja tetapi hak yang sama telah dipraktikkan sejak zaman Tunku Abdul Rahman, Tun Razak, Tun Hussien Onn, Tun Mahathir, Tun Abdullah, dan Datuk Seri Mohd Najib Razak.

7. Misalnya apabila DS Najib Razak mencari dana untuk UMNO adakah beliau meminta kebenaran semua ahli akar umbi untuk mendapatkan dana tersebut dari pihak tertentu? Tidak! Ini kerana ia kuasa dan preogratif Presiden UMNO.

8. Apakah Presiden UMNO meminta pandangan akar umbi secara terbuka apabila UMNO membuat keputusan mencalonkan Lokman Nor Adam sebagai calon PRK Sungai Kandis dua tahun lalu? Jawapannya juga tidak kerana ia hak preogratif Presiden setelah berbincang dan dipersetujui oleh MT.

9. Jadi sebelum membelasah dan menghina Presiden fahami dulu kaedah berorganisasi.

10. Ahli biasa boleh menegur dan mengkritik Presiden dan mana-mana kepimpinan UMNO pada bila-bila masa selagi ia tidak merosakkan parti.

11. Namun bagi mereka dalam kepimpinan UMNO terutamanya Ahli Majlis Tertinggi, hak tersebut ada batas dan etika yang perlu dipatuhi.

12. Pertama, Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO perlu mengutarakan kritikan, bantahan dan ketidakpuasan hati dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO. Ini kerana MT UMNO adalah pihak tertinggi dalam pengurusan UMNO.

13. Apabila segala bantahan dan kritikan telah diutarakan sebelum perbincangan dalam MT, maka ia menyebabkan perpecahan dalam parti; dan menjurus kepada keadaan seorang ahli MT cuba memaksa pandangannya ke atas semua ahli MT lain.

14. Sepatutnya tunggu mesyuarat MT dengar pandangan semua orang. Jika ahli MT terbabit tidak berpuas hati dengan keputusan MT maka bolehlah beliau meminta MT memanggil mesyuarat Agung Khas membincangkan perkara yang menjadi perbalahan antara beliau dengan ahli MT lain.

15. Jika masih tidak berpuas hati ahli MT terbabit perlulah meletak jawatan dan bercakap di luar sebagai ahli parti biasa.

16. Dalam proses demokrasi kita kena memahami batas dan etika dalam berorganisasi. Kita mungkin punya pandangan betul, mungkin separuh betul atau mungkin salah sama sekali. Namun batas-batas organisasi harus dihormati dan dipelihara.

17. Kritikan terbuka sekali-sekala secara bersopan mungkin boleh diberi kelonggaran dan dipandang sebelah mata.

18. Namun mengherdik dan mencerca Presiden persis cybertroopers atau penjual ubat kuat tepi jalan adalah sesuatu yang biadap.

19. Ahli MT yang menimbulkan keributan di luar ketika mempunyai peluang bercakap secara berdepan dalam mesyuarat MT pasti mempunyai niat yang lain dari membantu parti

Ab Jalil Backer

Related Articles

Check Also
Close
Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker