Zuraida dipecat bulan ini?

Awal pagi ini berlegar satu pesanan daripada aplikasi WhatsApp yang mendakwa Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin akan dipecat oleh parti bulan ini.

Mesej itu didakwa disampaikan oleh seorang pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR yang mendakwa Zuraida akan turun dalam satu acara di negeri pimpinannya.

Justeru itu, beliau menasihatkan semua ahli akar umbi agar tidak membuat sebarang provokasi terhadap kemunculan Zuraida pada majlis berkenaan.

“Saya ingatkan semua ahli PKR negeri jangan beri ruang untuk mereka fitnah kita, jangan buat apa-apa provokasi, termasuk membincangkan tunjuk kekuatan kita.



“Jangan layan puak-puak kartel. Depa memang harap kami provok, jadi nyawa Zuraida akan panjang.

“Ingat bulan Feb (Februari) 2020 (Zuraida) akan dipecat,” katanya dalam mesej berkenaan.

“Saya ingatkan sekali lagi jangan ada aktiviti-aktiviti dan jangan layan mereka. Terima kasih,” katanya lagi.

Status berhubung apa-apa tindakan displin terhadap Zuraida akan diputuskan oleh Pengerusi Lembaga Displin PKR, Datuk Ahmad Kasim.



Ia setelah Zuraida menghantar surat jawapan terhadap surat tunjuk sebab pada 29 Januari lalu.

Notis tunjuk sebab itu dikemukakan Lembaga Disiplin PKR bertarikh 15 Januari lalu atas dakwaan salah laku termasuk mengeluarkan ucapan berunsur fitnah terhadap kepemimpinan parti.

Surat itu diserahkan Setiausaha Politik Zuraida, Nor Hizwan Ahmad.

Lembaga Disiplin PKR sebelum ini dilapor memulakan siasatan terhadap pelbagai laporan salah laku membabitkan ahli dan pemimpin kanan parti termasuk Zuraida dipercayai ada hubungan dengan ucapan pada majlis Makan Malam Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 pada 8 Disember tahun lalu.



Ia berlaku selepas penyokong kuat Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bertindak memboikot hari terakhir Kongres Nasional PKR 2019 di Melaka, Disember tahun lalu. -MalaysiaGazette

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker