Melihat Jerman: Mengapa Sains, Matematik perlu dalam bahasa ibunda

Oleh Farhan Nasir

Ke hadapan Dr Mahathir Mohamad, perdana menteri dan pemangku menteri pendidikan.

Kami beberapa pelajar warga Malaysia yang sedang melanjutkan pengajian doktor falsafah (PhD) di Jerman ingin menyuarakan bantahan terhadap cadangan pengajaran mata pelajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris, seperti yang disuarakan oleh Dr Mahathir.

Kami merasakan suara kami harus didengar atas kapasiti sebagai pelajar pasca siswazah yang sedang mengkaji bahasa dari sudut pandang sejarah, kebudayaan, sastera, dan politik, sehinggalah ke sudut pandang teori, formal, dan teknikal.

Kami akan nyatakan hujah kami dalam tiga tema utama: (1) bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu kerana sifat bahasa itu yang hidup, (2) bahasa Melayu sebagai bahasa pengantara pendidikan kerana majoriti rakyat berbahasa Melayu sebagai bahasa pertama, dan (3) prestasi penterjemahan bahasa Melayu berbanding bahasa Jerman.

Bahasa Melayu sebagai Bahasa Ilmu

Dengan mengatakan suatu bahasa sebagai bahasa ilmu, kami maksudkan penggunaan bahasa tersebut secara menyeluruh sama ada pada tahap perbincangan keilmuan sehinggalah penggunaannya dalam bahasa pendidikan dan percakapan seharian.

Kami lihat bukan satu masalah untuk bahasa Melayu digunakan sebagai pengantar dalam perbincangan keilmuan di kalangan pakar. Jika pakar sesuatu bidang itu sudah menguasai bahasa Melayu dan pada masa sama menguasai bidang tersebut, apa lagi masalah pakar itu untuk menjelaskan bidangnya itu dalam bahasanya sendiri.

Pakar juga seharusnya mempunyai hak untuk menterjemah suatu istilah. Pakar lain juga mempunyai hak untuk membantah. Namun akhirnya istilah terjemahan suatu bidang itu bergantung kepada pakar bidang itu sendiri dan bukannya orang lain. Isunya hanyalah sama ada pakar itu hendak atau tidak hendak membuat penyampaian dalam bahasa Melayu; bukan sama ada bidang itu boleh atau tidak boleh disampaikan dalam bahasa Melayu.

Persoalan yang lebih utama ialah mengapa kita perlu menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu. Selain atas dasar ia sebagai identiti, kami juga ingin menekankan bahawa bahasa ialahpengantara yang langsung untuk manusia mencapai kebenaran. Semua takrif dan hujah bagi suatu konsep akan diabadikan dalam kata-kata. Maka bukankah lebih mudah bagi kita untuk memahami suatu perkara apabila ia diungkapkan dengan bahasa ibunda kita?

Contohnya istilah “compute”, “computable”, “computability”, “incomputable”, dan “incomputability” dalam sains komputer. Bukankah lebih intuitif jika kita menggunakan istilah hitung, boleh hitung, kebolehhitungan, tak boleh hitung, dan ketakbolehhitungan?

Sesiapa yang cuma membayangkan bentuk komputer riba apabila disebut perkataan “komputer” kepadanya selama ini, sekurang-kurangnya sekarang akan terlintas di fikiran mereka perkaitan antara komputer dengan perbuatan menghitung. Memang ada perkaitan yang sangat asasi (rujuk tesis Church-Turing).

Hampir semua takrif dan penghujahan bagi suatu konsep amat berkait rapat dengan pengabdiannya dalam bentuk perkataan dan ayat. Takrifannya kemudian dijadikan lebih rapi oleh pakar dan penghujahan terhadapnya boleh dibuat secara intuitif oleh pakar dan juga bukan pakar.

Bagaimanapun dalam dunia keilmuan di Malaysia, seperti sudah menjadi kebiasaan untuk meminjam bahasa Inggeris secara membuta-tuli, malah menggunakannya secara rojak dalam soal-soal keilmuan.

Jangan terkejut jika ramai graduan PhD sains tulen dan sains sosial di Malaysia tidak dapat menjawab jika ditanya apakah itu “hipotesis nul”, walau ia satu kaedah paling asasi dalam sains. Jangan terkejut juga dengan alasan sama yang diberikan – bawah istilah sains sudah terlalu banyak dalam bahasa Inggeris walaupun bukanlah satu masalah untuk menterjemahkannya.

Terjemahan istilah boleh dibuat terhadap konsep akarnya. Istilah terbitan daripada konsep akar ini kemudian akan menjadi lebih mudah untuk diterjemah dan seterusnya difahami. Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih.

Minat yang membawa mampu

Bagi kami, minat murid terhadap bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) adalah jauh lebih mustahak berbanding pembelajarannya dalam bahasa Inggeris. Kemampuan bahasa Inggeris mereka dalam bidang STEM boleh diajar selepas minat mereka dipupuk.

Secara teorinya, bukankah lebih mudah untuk murid yang masih berfikir dalam bahasa Melayu memahami konsep-konsep penting dalam STEM dengan menggunakan bahasa itu? Secara empirikal pula, sudah ada beberapa kajian yang menunjukkan kemerosotan penyertaan pelajar dalam bidang STEM, dan juga markah mereka, selepas pelaksanaan PPSMI kali pertama.

Bahasa Melayu sudah cukup dan mampu untuk digunakan sebagai bahasa pengantar sehingga ke tahap sekolah menengah (malah di universiti juga). Jika pelajar tersebut sudah memahami suatu konsep dalam bidang STEM, dan pada masa sama menguasai asas bahasa Inggeris, tiada masalah untuk dirinya melanjutkan pengajian di luar negara, di mana bahasa pengantarnya adalah bahasa Inggeris.

Katakanlah dia tidak begitu mahir dalam bahasa inggeris. Minat terhadap STEM dalam dirinya pasti akan menjadi faktor untuk dia terus berusaha mengatasi kekangan bahasa. Jika minat pun tidak, apa gunanya tahu istilah sains dalam bahasa Inggeris.

Masuk telinga kanan, keluar telinga kiri. Seperti kata seorang kawan, golongan bumi rata pun boleh bersidang dalam bahaa Inggeris.

Budaya Keilmuan di Jerman

Di Jerman, bahasa Jerman digunakan secara menyeluruh untuk urusan rasmi dan juga tidak rasmi, dalam industri, pendidikan dan pengurusan. Ini tidak dapat dinafikan. Tetapi kami ingin memberi tumpuan kepada budaya penggunaan bahasa Jerman dalam bidang keilmuan di negara itu.

Lazimnya, perbualan dalam soal keilmuan antara sesama pakar, pakar dengan pelajar, dan juga sesama pelajar dibuat dalam bahasa sendiri, melainkan jika ada orang yang tidak memahami bahasa itu yang turut serta. Secara kasar, bahasa Inggeris mereka tidaklah jauh lebih hebat berbanding kita.

Sering kali mereka terlupa suatu istilah dalam bahasa Inggeris ketika berbual dalam bahasa itu. Namun mereka tetap meneruskan komunikasi dengan menterjemah secara terus perkara itu tanpa mengetaui istilahnya dalam bahasa Inggeris. Ini menunjukkan dalam fikiran mereka, mereka menggunakan bahasa ibunda untuk memikirkan konsep-konsep asasi dalam bidang masing-masing.

Pada masa sama, ia menunjukkan bukan satu masalah besar jika tidak tahu suatu istilah dalam bahasa Inggeris. Konsep dan makna istilah lebih penting berbanding istilah itu sendiri.

Terjemahan mereka terhadap konsep-konsep yang kompleks boleh dikatakan sangat rapi, menunjukkan pemahaman dan pengetahuan mereka secara umum terhadap konsep tersebut. Jangan beri alasan bahawa mereka tiada masalah untuk menterjemah kerana sudah “terkedepan”.

Mereka masih berusaha keras dalam penterjemahan istilah kerana banyak istilah ilmu dalam bahasa Inggeris adalah daripada rumpun bahasa Roman (misalnya Latin) walaupun bahasa Inggeris adalah dalam rumpun bahasa Jermanik.

Dalam konsep “compute” atau hitung seperti disebut di atas, orang Jerman menggunakan kata kerja “rechnen” (kira) sebagai kata dasar, bukannya meminjam daripada terbitan bahasa Latin, “compute”, seperti yang dilakukan bahasa Inggeris.

Melihat contoh dinamika bahasa Indonesia, jiran kita, didapati kemajuan bahasa mereka semakin jitu. Malah ramai sarjana luar dan orang dari Eropah yang ke sana untuk belajar dan beradaptasi dengan bahasa Indonesia, sekaligus berintegrasi dengan budaya tempatan.

Ini kerana rakyat Indonesia percaya dan mengakui pentingnya identiti dipertahankan. Dengan subetnik yang begitu rencam, mereka tetap bersatu dalam identiti ini: Bhinneka Tunggal Eka. Bagi kami, jika kerajaan sendiri ragu-ragu dengan identiti negara sendiri, siapa lagi yang boleh diharapkan?

Penutup

Tiada alasan untuk menganggap bahasa Melayu tidak boleh menjadi bahasa Ilmu. Ia bukan masalah boleh atau tidak, tetapi hendak atau tidak.

Pada masa sama, tiada sebab untuk mengatakan pengajian STEM dalam bahasa Inggeris boleh meningkatkan perkembangan sains dan teknologi di Malaysia. Penggunaan bahasa selain ibunda boleh menghancurkan minat palajar terhadap STEM.

Kami berharap Dr Mahathir untuk tidk bertindak tanpa merujuk suara-suara lain. Berilah peluang agar suara sarjana, penulis, ibu bapa dan rakyat Malaysia untuk didengar sebelum melaksanakannya. Berilah kepercayaan kepada rakyat sendiri? Apakah semangat sidang umum (sesi town hall) telah mati?

Berilah hujah dan sebab, sama ada secara teori mahupun empirik. Rujuklah kajian yang sudah dibuat agar suatu pandangan itu boleh dibahaskan sebelum dilaksanakan. Jika sejak awal pandangan dan kajian ini disudutkan, semua usaha terhadap kajian itu ibarat hujan jatuh ke pasir.

FARHAN NASIR adalah pelajar doktor falsafah dalam bidang Logik dan Falsafah Bahasa di Universiti Tubingen, Jerman. Artikel ini ditulis bersama tiga lagi pelajar doktor falsafah bidang sastera, linguistik dan politik di Goethe University Frankfurt.

Mkini

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker