PPSMI : Kerajaan Diharap Tidak Tergesa-Gesa, Dedahkan Dahulu Hasil Kajian – Mahdzir

Share

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid berpandangan hasil kajian Pengajaran subjek Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) yang kembali menjadi isu yang hangat ketika ini perlu didedahkan kajiannya.

Menurut beliau yang juga mantan Menteri Pendidikan, pihak Kementerian perlulah mendedahkan dapatan kajian tersebut agar semua pemegang taruh seperti ibu bapa dapat menilai serta memberi pandangan yang rasional sebelum ia dilaksanakan.

“Itupun selepas semua pihak dapat mencapai kata sepakat untuk bersetuju.

“Keduanya, “Dual Language Program” atau DLP yang diperkenalkan pada tahun 2016 sewajarnya diperkasakan terlebih dahulu. Ini kerana pelaksanaan DLP adalah satu pilihan yang ditentukan oleh ibu bapa pelajar itu sendiri. Tiada paksaan.,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.

Tambah beliau banyak faktor lain yang menjadi cabaran kepada pelaksanaan pengajaran dua subjek tersebut dalam Bahasa Inggeris dan salah satunya, kesiapsiagaan para pendidik dalam aspek penguasaan Bahasa Inggeris dalam dua subjek itu antara perkara yang perlu diberi keutamaan serius.

“Jika pendidik tidak bersedia, kesannya sudah pasti merugikan generasi pelajar itu sendiri. Belum lagi disentuh usaha-usaha mengangkat martabat Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, bahasa perpaduan, bahasa rasmi yang semakin pudar ketika ini. Demikian juga, sudah lama tidak mendengar kempen atau usaha-usaha Program Imersif Tinggi (HIP) berkaitan dasar MBMMBI,” ujarnya.

“Saya berharap pihak kerajaan tidak membuat keputusan yang tergesa-gesa dalam soal pelaksanaan dasar-dasar berkaitan pendidikan,” tambahnya. – UMNO Online

(Visited 11 times, 1 visits today)

Leave a Reply

Do NOT follow this link or you will be banned from the site!