Kaji dulu masalah PPSMI sebelum laksana semula, NUTP beritahu Mahathir

Putrajaya perlu meneliti dan mengkaji masalah dihadapi semasa pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) bermula 2003 hingga 2012 sebelum melaksanakannya kembali, kata Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP).

Presidennya Aminuddin Awang berkata, kenyataan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berhubung keputusan untuk menjadikan bahasa Inggeris sebagai pengantar mata pelajaran sains dan matematik, tidak wajar dilaksanakan pada tahun ini.

“Kita minta Kementerian Pendidikan Malaysia meneliti semula permasalahan yang dihadapi guru semasa pelaksanaan PPSMI sebelum ini, iaitu dari segi penetapan, latihan guru dan kesediaan sebelum dimulakan satu perancangan baru.

“Kita mengharapkan dapatan daripada kajian PPSMI ini diberi perhatian dan diteliti serta diselesaikan permasalahan yang timbul sebelum ini. Kita tidak mahu sejarah lama berulang semula,” katanya kepada FMT.

Terdahulu Mahathir berkata, bahasa pengantar untuk mata pelajaran sains dan matematik akan kembali ke bahasa Inggeris dalam usaha untuk menggalakkan penggunaan dan penguasaan bahasa tersebut dalam kalangan rakyat Malaysia.

Beliau, yang juga pemangku menteri pendidikan, menekankan pentingnya menguasai bahasa Inggeris dan menambah bahawa kedua-dua mata pelajaran itu bukan “asal” kepada Malaysia.

Aminuddin berkata, beliau memahami niat Putrajaya untuk meningkatkan penguatkuasan bahasa Inggeris dalam kalangan rakyat, bukannya anti kepada peningkatan bahasa Inggeris, namun tindakan ini akan menyebabkan rasa tidak selesa dalam kalangan guru.

“Asasnya, perlu dikaji setiap permasalahan yang lama, selagi permasalahan yang lama tidak diatasi, khususnya dari segi kesediaan guru, alat pengajaran dan pembelajaran, maka ia tidak wajar dilaksanakan kembali,” katanya.

Dasar pendidikan negara menyaksikan beberapa pertukaran ketara, termasuklah berhubung dasar PPSMI.

Pada 2009, apabila Muhyiddin Yassin menjadi menteri pendidikan, dasar itu dimansuhkan. Dasar berkenaan dicetuskan Mahathir ketika menjadi perdana menteri pada 2003.

FMT

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker