Koronavirus : WHO isytihar kecemasan global

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) hari ini mengumumkan koronavirus yang telah mengakibatkan kematian 212 orang di China sebagai kecemasan global apabila ia telah merebak ke 18 negara.

Hubei, wilayah yang menjadi pusat wabak itu, melaporkan 42 kematian tambahan menurut kenyataan terbaru dari Suruhanjaya Kesihatan Wilayah Hubei. Ia melaporkan 1,220 kes baru yang disahkan dalam tempoh 24 jam.

Majoriti lebih daripada 9,480 kes dikesan di seluruh dunia, menurut data WHO terkini, berada di China, di mana virus itu berasal dari pasaran hidupan liar haram di bandar Wuhan.

Namun, 100 kes telah muncul di negara lain, menyebabkan sekatan perjalanan, penularan sentimen anti-China di beberapa tempat dan peningkatan permintaan terhadap topeng muka.



Di wilayah Hubei iaitu ibu negeri Wuhan, kira-kira 60 juta orang tinggal dalam kuarantin apabila China berusaha membendung penularan koronavirus.

Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus, dalam satu sidang akhbar di Geneva memuji tindak balas China, tetapi berkata, WHO bimbang virus merebak ke negara yang tidak mempunyai sumber untuk menanganinya.

“Sebab utama pengisytiharan ini ialah bukan kerana apa yang berlaku di China tetapi kerana apa yang berlaku di negara lain.

“Kebimbangan utama kami ialah potensi virus itu untuk merebak ke negara yang mempunyai sistem kesihatan yang lemah,” katanya



– Reuters

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker